Tuesday 26 April 2011

Budaya Membaca Rakyat Malaysia

     Amalan membaca dapat mewujudkan masyarakat yang bijaksana. Hal ini demikian kerana mereka mampu menguasai ilmu sesuatu pengetahuan seterusnya memanfaatkannya pada jalan yang baik. Tradisi membaca yang kukuh adalah bermula pada peringkat kanak-kanak. Justeru, ibu bapa hendaklah bijak memilih masa yang sesuai untuk membacakan buku cerita kepada anak-anak.

     Misalnya, sebelum anak-anak tidur. Bak kata pepatah, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Begitulah juga usaha memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Namun demikian, cara sesebuah buku dipersembahkan kepada kanak-kanak perlu dititikberatkan juga. Contohnya, dengan banyak menggunakan ilustrasi atau gambar yang menarik.

     Di Malaysia, tradisi membaca cukup memberangsangkan ketika gelombang saingan daripada media elektronik melanda dengan hebatnya. Oleh itu, usaha-usaha menanam minat membaca dalam kalangan rakyat mestilah dijalankan secara berterusan dan dilipatgandakan dari semasa ke semasa Kempen membaca pula mestilah dilaksanakan sepanjang tahun.

     Usaha ini hendaklah melibatkan pelbagai peringkat umur pembaca, iaitu golongan kanak-kanak, remaja, dan dewasa, serta mencakupi pelbagai bidang yang sesuai dengan keperluan pembaca. Sementara itu, Kempen Bulan Membaca Kebangsaan pada setiap bulan Julai perlu disesuaikan dan disusun semula programnya.

     Dalam usaha menggalakkan pembacaan dalam kalangan masyarakat Malaysia, pelbagai jenis buku wajar mengisi ruang perpustakaan awam atau pusat sumber sekolah. Buku-buku itu pula hendaklah ditulis dalam bahasa Malaysia dan diterbitkan di Malaysia. Syarikat penerbitan juga digalakkan menganjurkan pertandingan yang melibatkan aktiviti membaca. Misalnya, pertandingan menulis cerpen atau esei, pertandingan ulasan novel, dan sebagainya. Dalam hal ini, semua pihak berperanan penting untuk membantu usaha memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Industri dan Pemasyarakatan Buku”, Dewan Masyarakat, Jun 2007)

Nur Hanina Afrina.

No comments:

Post a Comment