Tuesday 26 April 2011

Penguatkuasaan Larangan Membawa & Mengguna Telefon Bimbit Oleh Murid Di Sekolah

     Kementerian Pelajaran Malaysia telah menarik balik kebenaran membawa telefon bimbit ke sekolah. Tindakan ini telah mendapat sokongan pelbagai pihak terutama ibu bapa pelajar. Oleh itu, ada beberapa faktor yang menyebabkan tindakan ini diambil oleh pihak kerajaan.

     Sebab yang ketara tindakan ini dilaksanakan ialah telefon bimbit itu menjejaskan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Ada pelajar yang berani menggunakan telefon di dalam kelas ketika guru mereka sedang mengajar lalu menganggu penumpuan guru dan pelajar yang lain pula. Jadi, memang teknologi ini menyebabkan proses pendidikan di sekolah terjejas.

     Selain itu, penggunaan telefon bimbit di sekolah juga mampu menganggu ketenteraman suasana sekolah itu. Nada dering yang kuat dan kekerapan telefon bimbit berbunyi boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penghuni sekolah pula. Maka, suasana ketenteraman pelajar akan terganggu dengan kewujudan telefon bimbit di kelas mereka.

     Bukan sahaja menjejaskan proses pendidikan dan menganggu ketenteraman pelajar tetapi telefon bimbit ini juga boleh digunakan untuk tujuan yang tidak baik. Sudah wujud kes yang menyaksikan pelajar menggunakan telefon bimbit untuk mengambil gambar yang tidak sepatutnya. Jelaslah, tindakan sebegini mampu menjejaskan imej seseorang pelajar juga.

     Malahan, ada pelajar yang menggunakan telefon bimbit sebagai cara untuk meniru dalam peperiksaan di sekolah mereka. Mereka menggunakan system pesanan ringkas (SMS) untuk bertukar-tukar jawapan tentang sesuatu soalan itu tanpa rasa malu atau bersalah. Sesungguhnya, telefon bimbit telah memudahkan pelajar untuk meniru dalam peperiksaan mereka.

     Kesimpulannya, tindakan kerajaan mengharamkan penggunaan telefon bimbit di sekolah satu tindakan tepat berdasarkan semua hujah tadi. Kerjasama semua pihak terutama pihak ibu bapa untuk memastikan anak mereka tidak membawa telefon bimbit ke sekolah amat diperlukan. Peribahasa “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya” harus menjadi iktibar kepada kita semua dalam menyelesaikan masalah ini.

Nurun Amni

No comments:

Post a Comment