Saturday 30 April 2011

Kita Saling Memerlukan: Mengapa sombong?

Sehebat mana pun seseorang, pasti dia memerlukan jasa orang lain. Sehina mana pun seseorang, pasti dia sudah pernah berbudi kepada orang lain. Ertinya, setiap orang ada nilai dan harga dirinya di sisi orang lain. Maka tidak patutlah timbul hina-menghina dan pecah-belah, kerana kita sebenarnya saling memerlukan. (Status Mohd Fadli Yusof 1 Mei 2011)

Kerana itu janganlah merasa kita ini cukup gagah, tidak perlu kepada orang lain. Lantaran itu kita menyombongkan diri terhadap orang lain terutama orang yang lebih bawah daripada kita, seperti orang yang kita rasakan lebih miskin, lebih bodoh dan rendah pangkatnya daripada kita.

Sekalipun kita raja apalagi seorang rakyat biasa, atau kita majikan, apalagi kalau kita seorang kuli, sebenarnya kita ini lemah dan serba kurang. Kekuatan dan kehebatan kita adalah hasil pengorbanan orang lain. Tanpa pengorbanan dan kerjasama orang lain, kita tidak mungkin boleh memiliki keistimewaan dan kemuliaan seperti sekarang.


Tanpa tukang rumah, kita akan menjadi orang yang tidak ada tempat tinggal, terpaksa hidup berlantaikan bumi dan berbumbungkan langit. Tanpa petani, kita ketiadaan beras, sayur-sayuran dan buah-buahan. Tanpa nelayan kita tidak akan berlauk. Tanpa tukang jahit, kita tidak akan berbaju. Tanpa tukang masak kita tidak dapat merasa makanan lazat. Tanpa penjual kita tidak ada bekalan makanan. Tanpa pekerja kita tidak akan dapat keperluan-keperluan hidup yang bermacam-macam jenis.

Pendek kata hidup kita ini sentiasa bergantung dan bersandar pada jasa dan pengorbanan orang lain. Seorang yang mahu bebas daripada mengharap sumbangan orang lain lebih-lebih lagi dengan Allah pasti akan merasa sangat susah bahkan mungkin akan mati kelaparan. Demikianlah sunnatullah, dijadikan manusia terpaksa merasa perlu kepada manusia lain agar mereka saling merasa terhutang budi dan perlu-memerlukan.

Rupa-rupanya sudah banyak kita menerima budi dan jasa orang lain. Bahkan mungkin jasa orang pada kita lebih besar dan lebih banyak daripada apa yang terdaya kita berikan kepada mereka. Kerana itu kita sepatutnya merasa malu dan terhutang budi kepada manusia lain lebih-lebih lagi kepada Allah SWT Pemilik Segalanya.

Sumbangan mereka besar pada tamadun manusia. Seeloknya kita mencari jalan bagaimana untuk membalas budi mereka itu dan mencari jalan bagaimana untuk menghiburkan mereka atau bagaimana untuk menolong memenuhi keperluan-keperluan hidup mereka.

Sepatutnya kita muliakan mereka sesuai dengan jasa mereka. Jangan sekali-kali kita sombong dan angkuh terhadap mereka dan membiarkan mereka dalam kesusahan atau meletakkan mereka di taraf yang hina seolah-olah merekalah manusia yang tidak berharga dan tidak berguna apa-apa di dalam kehidupan.

Di sisi Allah barangkali darjat mereka lebih mulia daripada kita. Allah berfirman,

إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ

Maksudnya: ”Semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling taqwa. (Al Hujurat: 13)

Kalaulah hal ini diinsafi dan disedari sebenar-benarnya oleh setiap manusia, tiada seorang pun tergamak untuk berlaku sombong dengan orang lain. Sebaliknya, masing-masing rasa rendah diri dan memandang orang lain dengan rasa hormat dan kasih sayang.

Allah Yang Maha Bijaksana mencipta manusia pelbagai rupa, kelebihan dan kekurangan agar mereka lengkap melengkapi antara satu sama lain. Perkara begini sering dijadikan hujah untuk mengatakan Allah tidak adil, menciptakan manusia tidak sama rata, ada kaya, ada yang miskin, ada cantik, ada yang buruk rupa...sebenarnya disitu terdapat hikmah menunjukkan Maha Adil, Maha Pencipta, Maha Bijaksana Allah SWT.


Tidak mungkin jari-jari dapat digenggam jika semua jari-jari itu sama saiz dan panjangnya
Yang Allah nilai pada manusia itu hanya taqwanya. Allah jadikan manusia ini sedemikian rupa, agar berlumba-lumba berbekal dan mencari taqwa itu, agar selamat di akhirat nanti. Sedangkan jari-jari di tangan tidak Allah jadikan sama rata. Ada yang besar, ada yang halus, ada yang panjang, ada yang pendek, agar dapat memegang dan menggenggam.

Bila hakikat itu dilupakan, lahirlah sombong dan angkuh yang membawa kepada pergaduhan dan persengketaan. Sebaliknya jika dapat difahami bahawa kita sebenarnya saling memerlukan, akan amanlah hidup manusia ini.

Alhasil manusia akan hidup bersatu padu dalam satu susunan hidup masyarakat yang sama rata dan hormat-menghormati serta saling merasa perlu memerlukan antara satu sama lain. Tidak ada lagi masyarakat super scale, first class, second class, third class dan no class bahkan semuanya senasib. Hanya yang membezakan ketika itu adalah TAQWA, yang jadi penilainya ialah Allah SWT.

Ya, rupanya kita senasib. Senasib ertinya masing-masing tidak lepas daripada menerima dan mengharap bantuan orang lain. Senasib juga ertinya tidak lepas daripada kekuasaan Allah SWT, tidak lepas daripada dimatikan oleh Allah, tidak lepas daripada Alam Barzakh dan Alam Akhirat serta daripada Syurga dan Neraka. Maknanya manusia semuanya jadi satu kelas, satu hati dan benar-benar bersatu.

Hari ini kesedaran begitu belum wujud dalam masyarakat kita. Tidak ramai yang faham kenapa Allah jadikan orang besar, orang kecil, orang pandai, orang jahil, orang kaya, orang miskin, tauke, kuli dan lain-lain lagi. Kerana itu manusia tidak sedar yang mereka saling perlu-memerlukan, kait-mengait dan berhubung dengan hubungan yang penting. Apabila hal ini tidak disedari, terjadilah keadaan ketika masing-masing terasa dirinya lebih daripada orang lain.

Manakala yang kurang pula rasa hina diri dan hasad dengki. Lalu manusia hidup berantakan, pecah-belah dan tekan-menekan. Tidak ada kedamaian dan kasih sayang lagi. Kehidupan menjadi begitu tegang dan meruncing. Kebahagiaan di dunia sering terancam, di akhirat lebih-lebih lagi.

Menyedari hakikat ini marilah kita sama-sama merenung dan berfikir untuk mengubah sikap, membaiki keadaan dengan masing-masing memulakan sikap menghormati orang lain sebagaimana mereka menghormati dan mengasihi diri sendiri. Pernah Sayidina Muaz bertanya kepada Rasulullah ﷺ, ”Bagaimana untuk selamat di hari Hisab nanti?”, maka jawab Rasulullah, ”Engkau kasihi orang lain sepertimana engkau mengasihi dirimu sendiri.”

No comments:

Post a Comment