Tuesday 26 April 2011

Punca-punca Gejala Sosial

     Kebelakangan ini, pelbagai laporan tersiar tentang pembabitan remaja dalam gejala penagihan dadah, rogol, curi, samseng sekolah, lumba haram dan lepak. Tidak kurang juga remaja terbabit dalam kes pembunuhan rakan sekolah dan membuang bayi hasil hubungan haram. Dalam mencari pokok pangkal remaja bermasalah itu, kita perlu menerima hakikat remaja hari ini menghadapi pelbagai tekanan daripada keluarga dan persekitaran. Keluarga mengharapkan anak-anak mencapai kejayaan, manakala persekitaran menggamit remaja untuk terlibat dalam pelbagai perkara.

     Keadaan ini bertambah parah apabila remaja pada hari ini lebih terdedah kepada pengaruh media massa, termasuk dari Barat yang membawa nilai asing dan pengaruh tersendiri. Pelakuan ganas dan kejam yang dibawa terus ke rumah melalui televisyen dan stesen satelit sememangnya mampu memporak-perandakan remaja dan masyarakat kita. Keadaan diburukkan lagi apabila ibu bapa masa ini tidak mempunyai masa yang cukup untuk bersama-sama dengan anak-anak. Dalam desakan memenuhi tuntutan mencari nafkah dan mencukupkan wang, ibu bapa keluar bekerja lantas tidak dapat meluangkan masa secukupnya dengan anak mereka.

     Selain itu, apabila ibu bapa membiarkan anak-anak menghabiskan masa lapang mereka dengan rakan-rakan sebaya. Apabila remaja berada dalam kumpulan, mereka suka melakukan perbuatan yang mencabar. Oleh itu, banyak kejadian seperti vandalisme, peras ugut, buli , dan sebagainya yang dilakukan oleh mereka. Tidak syak lagi jika keadaan sebegini dibiarkan, institusi kekeluargaan bakal menjadi lemah dan rapuh, Di sinilah ibu bapa perlu tampil dan memainkan peranan sebagai contoh kepada anak mereka.

     Ibu bapa yang terlalu sibuk mengejar duit dan kemewahan hidup sudah pasti tidak ada masa untuk membina dan membentuk sahsiah dan jati diri anak yang memerlukan belaian dan kasih sayang. Pendidikan agama dan moral yang begitu tandus dalam kalangan remaja juga menjadi punca mereka begitu rapuh untuk mengelakkan diri daripada gejala sosial, Aspek ini perlu diberikan perhatian semula oleh ibu bapa demi memastikan anaka mereka bersiap sedia menghadapi cabaran, tekanan dan perubahan sambil mengelakkan diri terjecak dalam pelbagai gejala sosial.

     Di sekolah pula, remaja semakin bosan untuk meneruskan pelajaran lantaran ketidakmampuan otak mereka menerima pelajaran, Oleh sebab mereka sering tidak memahami pengajaran guru dan kadangkala mereka malu jika dimarahi, mereka bertindak untuk ponteng sekolah. Apabila mereka ponteng sekolah dan menghabiskan masa bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain, mereka akan terdedah dengan pelbagai gejala yang negatif.

     Bagi mereka yang bercinta pula, mereka begitu sensitif dan tidak boleh ditegur oleh ibu bapa. Mereka begitu mudah tersinggung. Apabila berlaku perbalahan dalam keluarga atau cinta mereka dilarang, mereka akan mengambil keputusan untuk lari dari rumah. Sebagai akibatnya, tindakan mereka itu telah menyebabkan mereka hendak lari daripada mulut harimau, namun mereka terperangkap di dalam mulut buaya.

(Dipetik dan diubah suai daripada fail pengarang, 2008)

Nur Hanina Afrina.

No comments:

Post a Comment