Monday 11 July 2011

Ketenangan

Aku terus berjalan
tanpa menghiraukan rintangan
cabaran yang menghalang
air mataku menitis
jiwaku meraba
hatiku terseksa
mencari ketenangan jiwa.

Ketenangan
kini kutemuimu
suasana sepi menjadi riang
suasana gelap menjadi terang.

Kini kusedari
bahawa ketenangan
bukan datangnya
dari kesenangan
kekayaan dan kemewahan

Berilmu dan beriman
di situ ia datang
menjadi jiwaku tenteram
apabila aku mendekati-Nya.


oleh Hifni.

Syair Mendapat Gemala Naga

Dewa pun duduk ia bercerita,
Asal mulanya dapat sengsara,
Oleh disakitkan saudara,
Setahun sudah di dlaam penjara.

Ambillah tuan muda bestari,
Gemala ini nenek memberi,
Harganya itu tujuh buah negeri,
Apa kehendak keluar sendiri.

Setelah dewa mendengar kata,
Terlalu suka di dalamnya cita,
Lalu bermohon keduanya serta,
Manuju jalan tanah  yang rata.

Berjalan ia berdua bersaudara,
Mengikut pantai tepi segara,
Siang dan malam tiada antara,
Terus ke negeri Inderanegara.

Setelah sudah paginya hari,
Sampailah ia ke hujung negeri,
Bertemulah rumah sebuah berdiri,
Rumah kebayan orang yang bahari.

oleh Alyssa.

Burung-burung Pagi [ A. Wahab Ali ]

Kau telah bangun
Mengirai sayapmu
Entah siul keberapa kau nyanyikan
Membuka mataku

Aku bangun
Masih menguap sekali di pintu
Dan sekelompok cahaya matahari di dadaku
Kerjaku sudah menanti

Kulihat kau mematuk pasir pertama
Melintas kota tandus dari pepohon
Apakah ada ulat-ulat lemak bagimu
Atau secebis roti busuk
Dan remah anak-anak sekolah
Rezekimu
Bagiku kota ini terlalu sempit bagimu

Tapi kau yang hanya
Sejemput daging
Begitu yakin dengan
Sayapmu yang kecil

oleh Anis Syazwani.

Pantun Empat Kerat [ Musibah dan Perpaduan ]

Petang hari pergi ke pekan,
Pulang membawa sebungkus laksa,
Hidup muhibah perlu diamalkan,
Di negara Malaysia berbilang bangsa.

Cantik bergugus buah papaya,
Maska dipetik satu per satu,
Walaupun berlainan bangsa budaya,
Kerana muhibah hidup bersatu.

Air mengalir dalam terusan,
Mengairi sawah beratus relung,
Bekerjasama segala urusan,
Tanda bersatu bergotong-royong.

Tuan puteri dari kayangan,
Senyuman manis seperti madu,
Bermacam keturunan bukan halangan,
Untuk membina bangsa yang padu.

Enak nian air kelapa,
Penawar sakit mujarab sekali,
Kebudayaan asal tidak dilupa,
Kebudayaan nasional merka banggai.

oleh Anis Syazwani.

Warkah kepada Generasi [Amiruddin Md. Ali Hanafiah]

Generasiku tercinta
kalian adalah kelompok bertuah
yang sempit berteduh di langit alaf baru
dengan keberanian sebagai bangsa bermaruah
di tanah merdeka milik abadi kita.

Generasiku yang bijak bestari
ini bumi suci perjuangan nenek moyang
yang bersumpah sedia setia memartabatkan bangsa
mendaulatkan tanah air, mencipta  kebebasan.
membina istana merdeka yang kalian diami.

Penutup warkah ini
ingin kuingatkan: jangan biarkan akar sejarah
tercabut dari bumi bertuah ini.

by Nurul Amni.

Sajak Laut.

Laut ini begitu biru
Laut ini begitu luas
Laut ini begitu indah

Betapa bahagianya hati
laut ini membuatkan tenang
laut ini begitu tenang
begitu kaya.

Kulihat pasir putih
kulihat kerang
kurasakan ombak menyapa kaki
dan kurasakan
angin pantai membelai.

Seorang nelayan jauh di sana
berdiri di atas perahu kecil
menebarkan jala
mencari ikan untuk keluarga.

Burung laut  menari-nari di sana
mengepak-ngepakkan sayapnya
begitu gembira mereka bernyanyi
bagai berlumba
dengan nyanyian ombak.

Setengah matahari kulihat di seberang
di seberang laut biru ini
bagai malu-malu ia mengintip
namun dengan setia
memberi sinarnya.

Hai, laut biru
hari ini juga ku nyatakan
Kau adalah saudaraku!

by Nurul Amni.

Monday 4 July 2011

Hati Yang Kebuluran

Hati lapar? Bagaimana agaknya keadaan hati yang lapar? adakah hati itu memulas-mulas seperti perut yang lapar, atau menelan sebanyak mungkin air luar yang singgah di raja kalam? begitukah juga keadaan hati yang lapar?

Jika hati anda lapar, jangan biarkan ia terus kebulur. Kerana seperti badan, apabila dibiarkan kebuluran, sudah tentu akan sakit dan seterusnya mengakibatkan kematian. Oleh itu, carilah makanan untuk hati. Hati yang lapar sebenarnya mempunyai makanan tersendiri, ianya sangat istimewa dan menjimatkan wang ringgit. Tidak perlulah anda mengeluarkan wang beratus atau beribu-ribu ringgit, makanan hati yang istimewa ini ada disebutkan di dalam hadith nabi yang berbunyi:

لا يزال لسانك رطبا من ذكر الله

Sentiasalah basahi lidahmu dengan menyebut nama Allah

Rakan-rakan yang dikasihi sekelian, sebenarnya makanan yang paling diperlukan dan memberi nutrisi yang secukupnya kepada hati ialah Zikrullah, yang bermakna zikir kepada Allah. Zikir bermakna memuji dan mengagungkan Allah. Namun, masih ramai yang sanggup berlapar dan dahaga kerana mereka sanggup membiarkan sang hati mati kekeringan akibat tidak mejamah makanan ataupun air yang dapat menghilangkan kebuluran. Sungguh mereka lupa, lali dengan godaan dunia. Maka bila hati dibiarkan kebuluran, mengecutlah ia menjadi kering dan kusam, seolah-olah badan manusia yang dipaksa ber diet setiap hari.

Bayangkan bila perut anda semua lapar, sudah tentu makanan akan dicari dengan segera. Sehinggakan bila lapar ketika tengah malam pun sanggup untuk keluar mencari mcd, kfc dan segala jenis kedai makan yang dibuka 24 jam. Sanggup bersusah payah keluar rumah walaupun ketika itu mata sudah mengantuk dan badan sedang keletihan akan tetapi mengapa bila hati anda lapar anda sanggup biarkan hati anda kebuluran sedemikian rupa? Sedangkan lapar hati juga seperti laparnya perut. Bila bergurindam mulalah nak mencari makanan , tetapi bila lapar hati hanya sesetengah manusia sahaja yang mencari tuhan . Tetapi bagi sebahagian lagi daripada mereka masih enak dibuai kegelapan.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada sahabat-sahabat semua. Jangan biarkan hati kita lapar,kerana bila hati kita lapar tidak mustahil hati kita akan mati kegelapan tanpa sinar hidayah daripada Allah s.w.t. Maka hendaklah kita sentiasa basahkan bibir kita dengan menyebut kalimah Allah dan memuji Allah s.w.t.

Wallahualam.

Sumber : iluvislam.com

Siti Izzati.

Taubat di Pinggiran Hati

Ketika kita sedang membaca tulisan ini, apakah dosa terakhir yang telah kita buat sebelum ini? Dalam masa sesaat, seminit, sejam, sehari, seminggu, sebulan dan seterusnya sebelum ini, apakah kita telah melaluinya tanpa sebarang dosa pun yang terpalit di hati? Hakikatnya, kita semua pasti telah melakukan dosa, daripada sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya. Ya, setiap bani Adam itu pasti melakukan dosa, sebaik-baik orang berdosa ialah mereka yang bertaubat. Persoalannya, adakah kita tergolong di kalangan sebaik-baik orang yang berdosa?

Sehebat mana maksiat yang kita lakukan, kita pasti membencinya tatkala kita kembali merenung dan bermuhasabah sendirian. Sepuas mana hati itu merasa dengan dosa yang kita lakukan, pasti ada tersudut perasaan benci, dan menyesal yang teramat sangat atas apa yang telah kita lakukan. Itulah fitrah yang telah Allah ciptakan dalam diri kita. Bukannya kita tidak merasa menyesal, tapi kita selalu menolak rasa penyesalan dan masih terus memenangkan kemaksiatan. Kita ingin bertaubat dengan sebenar-benarnya, namun perasaan ingin bertaubat itu tersisih di pinggiran hati.

Pun begitu, Allah memahami kita lebih daripada kita memahami diri sendiri. Allah itu terlalu besar pengampunannya buat hamba-hamba-Nya. Namun, kita selalu bongkak dan merasa bahawa dosa kita itu lebih besar daripada rahmat Allah dan tak mungkin terampun. Sombong, tidak mahu kembali kepada Allah. Lalu kita berputus asa daripada menagih keampunan dan Rahmat Allah kerana dibohongi perasaan sendiri, dipalingkan oleh syaitan, dikuasai oleh ego yang tidak selayaknya bagi kita. Kita mengeluh sendirian, "ah, aku terlalu berdosa, tak mungkin aku dapat kembali ke jalan yang lurus", seolah-olah kita itu lemah dan patut dikasihani, namun sebenarnya kita itu sombong dan angkuh terhadap Allah! Sedarkah kita?

Lalu kita terus mengikuti dosa dengan dosa, sedangkan Rasulullah berpesan:

"Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, dan iringilah kesalahan kamu dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskan kesalahan tersebut dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik." (HR Tirmidzi)

Jelas bahawa seorang hamba itu tidak dapat lari daripada tergelincir ke lembah maksiat dan dosa, namun dia juga sentiasa dialu-alukan oleh Allah untuk memohon ampunan dan kembali taat. Maka tatkala kita merasakan bahawa kitalah yang paling berdosa dan terlalu besar maksiat yang kita lakukan, kita juga harus sedar bahawa tatkala itu, kitalah yang paling wajib untuk kembali ke pangkuan Ilahi, bertaubat sepenuh hati. Ya, taubat itu bagi seorang Mukmin bukannya satu pilihan, tapi satu kewajipan kerana dosa itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan, besar mahupun kecil.

Itu satu sudut pandang buat mereka yang berdosa, agar kita tidak terjerumus ke dalam tipu daya syaitan yang menghalang kita daripada menagih keampunan Allah biar sebesar mana dosa kita. Jangan biarkan taubat itu tersisih di pinggiran hati, lantas hilang sebelum sempat ia memasuki hati. Namun, dalam satu sudut yang lain, tidak harus kita berangan-angan akan Rahmat Allah lantas selesa dengan berbuat dosa. Kita memujuk hati dengan mengatakan, "Allah itu kan Maha Pengampun, jadi tak ada masalah berbuat dosa berkali-kali." Anggapan yang sebegini akan menjerumuskan kita lebih jauh ke dalam lembah kemaksiatan sehingga semakin sukar untuk kita kembali.

Maka, jangan tunggu dosa itu bertampuk dan semakin menggelapkan hati. Tatkala kita terdetik untuk bertaubat, teruskanlah taubat itu dan jangan lengah-lengahkan atau tangguhkan. Setiap kali kita tergelincir, bertaubatlah. Allah tak mengira berapa kali kita sudah melakukan dosa tersebut, tetapi Allah pasti menerima taubat setiap hamba-Nya yang ikhlas dan lahir daripada sudut hati yang sedar akan kekuasaan Allah.

Jangan biarkan taubat itu tersisih di pinggiran hati, masukkan ia ke dalam hati dan laluilah jalan yang diredhai Allah. Mudah-mudahan Allah tidak menyisihkan kita di hari perhitungan di pinggiran Neraka, bahkan di jurang api neraka. Na'udzubillah!

"Dan Allah hendak menerima taubatmu, sedang orang-orang yang mengikuti keinginannya menghendaki agar kamu berpaling sejauh-jauhnya (dari kebenaran). Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah."

(An-Nisaa': Ayat 27-28)

Sumber : iluvislam.com

Nurun Amni.

Suami Idaman Wanita

Isteri adalah untuk dikasihi dan disayangi dengan penuh kasih sayang. Isteri bukan tempat untuk si suami melepaskan amarah yang tiada berkesudahan . Isteri adalah makhluk tuhan yang perlu dibelai, dididik dan dihormati setiap masa.

Setiap hari ada sahaja kisah menyayat hati para isteri yang didera si suami didengari dan tertulis di akhbar. Ada antara mereka yang dilanda trauma yang teruk, didera, dipukul, disepak terajang dan banyak lagi. Sesetengah para suami yang menjadi kaki dera ini beranggapan si isteri layak 'diajar' sedemikian rupa agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Ada juga antara para suami yang menjadi kaki dera kerana telah berasa bosan dengan isterinya yang dianggap tidak menarik lagi dan sebagainya. Malah ada juga yang cuba mencari 'syurga' diluar dengan berlaku curang terhadap isterinya.

Apabila banyak kisah sebegini dipaparkan di dada akhbar dan majalah, semakin ramailah wanita takut untuk mendirikan rumah tangga dan berkahwin kerana mereka khuatir sekiranya hubungan mereka itu juga akan berakhir dengan kisah tragis didera suami atau dicurangi suami .

Persoalannya, adakah ini salah lelaki yang bergelar suami yang tidak tahu menghargai para isteri ataupun salah para isteri yang tidak pandai melayan hati suami?

Lebih baik kita usah menunding jari antara satu sama lain. Baik para suami mahupun para isteri masing- masing tidak patut dipersalahkan . Sekiranya para suami dan isteri sama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai suami-isteri seperti yang telah digariskan didalam Al-Qur'an dan As-sunnah sudah tentu tidak akan timbul kes-kes penderaan isteri dan kes-kes curang terhadap pasangan masing-masing.

Banyak kisah-kisah Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang dapat para suami jadikan contoh dalam melayari kehidupan berumah tangga agar rumahtangga sentiasa harmoni dan diredhai Allah s.w.t

Kerana Sifat Al-Amin, Siti Khadijah terpikat

Rasulullah s.a.w telah digelar dengan gelaran Al-Amin oleh para penduduk Kota Mekah kerana beliau telah diberi amanah oleh para pemuda Quraisy ketika isu untuk meletakkan Hajar Al-Aswad timbul. Baginda telah diberikan amanah tersebut kerana seluruh Kota Mekah mengenali baginda dengan sikap baginda yang amanah dan boleh dipercayai.

Abu Lahab pernah cuba meminang Siti Khadijah melalui Abu Thalib. Namun, Abu Thalib telah menolaknya dan Abu Thalib berkata :

"Dalam pertemuanku itu, Khadijah mengatakan dia memerlukan seorang lelaki yang dapat dipercayai bagi menjalankan perniagaannya. Dia berpesan supaya mencarikannya seorang lelaki yang jujur dan dapat dipercayai. Ayah tidak nampak orang lain selain kamu, wahai Muhammad."

Agak-agaknya apakah ciri-ciri orang yang boleh dipercayai yang dimaksudkan Siti Khadijah r.a? Antaranya adalah mempunyai tutur kata yang baik, amanah, jujur serta tidak berbohong.

Wahai para suami dan lelaki diluar sana adakah sukar bagi anda semua untuk mempunyai ciri-ciri murni seperti yang diatas? Sekiranya sukar, muhasabahlah kembali diri anda mengapa ianya menjadi sukar sedangkan ia tidak mustahil untuk dipraktikkan.

Keberanian dan ketulusan Saidina Ali r.a

Dua sahabat terkemuka iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar telah cuba meminang Fatimah, namun pinangan mereka ditolak dengan baik oleh Rasulullah.

Namun yang akhirnya bernikah dengan Saidatina Fatimah adalah Saidina Ali r.a.

Apakah yang menyebabkan Saidina Ali r.a dipilih oleh Rasulullah s.a.w sebagai menantu baginda? Jelas Rasulullah s.a.w memilih Saidina Ali r.a sebagai menantu baginda kerana sifat keberanian yang terselah dalam diri Saidina Ali r.a. Sejauh manakah keberanian Saidina Ali r.a yang telah menyebabkan beliau dipilih oleh baginda Nabi menjadi menantu baginda? Antara keberanian Saidina Ali r.a sebelum perkahwinan beliau dengan Siti Fatimah r.a lagi, Saidina Ali memang sentiasa berdamping dengan Rasulullah s.a.w. Akhirnya, beliau sendiri berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w dan menyatakan hasrat beliau untuk mengahwini Saidatina Fatimah r.a.

Berlainan dengan para lelaki zaman sekarang yang hanya berani dan rapat dengan keluarga bakal mertua ketika sebelum berkahwin dengan bakal isteri sahaja. Apabila sudah berkahwin, keluarga mertua sering dilupakan dan tidak diziarahi seperti sebelumnya. Malah ada para isteri yang tidak dibenarkan melawat keluarganya apabila sudah berkahwin.

Keikhlasan cinta Abu Salamah

Abu Salamah merupakan saudara susuan kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. Beliau telah ditakdirkan bertemu jodoh dengan sepupu Khalid al-Walid, yakni Hindun binti Abu Umayyah atau lebih dikenali sebagai Ummu Salamah.

Ummu Salamah merupakan seorang wanita yang sangat cantik, mulia, terhormat dan bijaksana. Cintanya kepada Abu Salamah terlalu besar. Abu Salamah merupakan seorang pahlawan Islam yang berani dan terbilang, beliau sering tercedera ketika berjuang di medan peperangan. Setiap kali Abu Salamah tercedera, Ummu Salamah akan menumpukan sepenuh perhatiannya untuk merawat suaminya yang tercinta.

Namun, telah ditakdirkan jodoh mereka tidak berpanjangan. Abu Salamah pergi meninggalkan Ummu Salamah ketika luka lamanya semasa perperangan berdarah kembali. Saat-saat sebelum pemergian Abu Salamah, Ummu Salamah berkata :

"Kandaku sayang! Dinda mendengar bahawa jika seorang isteri ditinggal mati oleh suaminya, sementara suaminya itu menjadi penghuni syurga dan isterinya tidak menikah lagi, maka Allah mengumpul mereka kembali ke alam syurga. Maka berjanjilah wahai kekasihku, kanda tidak akan menikah lagi, seandainya dinda pergi dulu. Dinda juga akan berjanji akan tidak menikah lagi andai kanda pergi dulu.

Abu Salamah memang mencintai isterinya, dan mengharapkan wanita solehah, secantik dan sebijak isterinya dimiliki oleh seorang yang lebih baik darinya. Dalam tenat berbicara, Abu Salamah membuat keputusan yang terbaik buat isterinya.

"Mahukah dinda taat kepada kanda?' kata Abu Salamah.

"Sudah tentu wahai kekasihku," jawab Ummu Salamah.

"Berjanjilah, jika kanda pergi terlebih dahulu, maka menikahlah lagi," pinta Abu Salamah. Ummu Salamah terkedu, air matanya bercucuran hiba.

"Ya Allah, jika aku mati terlebih dahulu, maka berikanlah Ummu Salamah seorang suami yang lebih baik daripadaku yang tidak akan membuatnya sedih dan menyakitinya," doa Abu Salamah dalam kepayahan.

Abu Salamah berdoa untuk isterinya sebelum dia meninggal dunia, agar isterinya memperoleh kebaikan yang tak terhingga tatkala dia menutup mata.

Demikianlah keikhlasan cinta seorang suami kepada isterinya, memikirkan yang terbaik untuk isterinya, dan akhirnya, Ummu Salamah bernikah dengan Rasulullah s.a.w

Romantis ala Rasulullah

Sebut perkataan romantis pasti ada antara kalian yang membayangkan romantis jiwang seperti yang selalu dipaparkan didalam drama atau filem-filem cinta. Namun romantik ala Rasulullah berbeza dengan gambaran romantis yang digambar kan didalam drama mahupun filem-filem cinta. Romantik adalah penghubung kemesraan dalam berumahtangga. Pernah suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w keluar menyambut salam dari sahabatnya, dan sahabatnya melihat tangan baginda terdapat tepung. Rupa-rupanya ketika itu baginda sedang membantu isterinya menguli tepung didapur.

Rasulullah s.a.w juga cukup romantik ketika menegur isteri-isteri baginda. Pernah suatu ketika Saidatina Aisyah memasak sesuatu, dan menjemput baginda nabi merasainya. Saidatina Aisyah bertanya tentang masakannya. Lantas, Nabi Muhammad s.a.w sendiri menyuapkan makanan itu ke dalam mulut Aisyah. Tahulah Aisyah mengenai masakannya itu.

Daripada Aisyah r.a, beliau berkata : "Saya biasa minum daripada cawan yang sama ketika haid, lalu Nabi mengambil cawan itu dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut saya".

"Lalu baginda minum, kemudian saya mengambil cawan, lalu saya menghirup isinya. Kemudian baginda mengambilnya daripada saya, lalu beliau meletakkan mulutnya pada tempat saya meletakkan mulut saya, lalu beliau pun menghirupnya." (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Sa'id bin Manshur).

******************************

Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah hidup bersuami isteri yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda untuk dijadikan contoh dan teladan buat para suami masa kini agar sentiasa berhemah dan berhikmah dalam menguruskan keluarga dan rumah tangga.

Kepada para suami dan para lelaki yang bakal menjadi suami, bangkitlah menjadi lelaki yang berkualiti bukan lelaki yang dibenci oleh wanita dan Allah s.w.t.

Sumber : iluvislam.com

Nurul Amni.

Pemimpinku

Pemimpinku,
Adalah orang yang sentiasa memegang janjinya,
Walau terpaksa bergadai nyawa,
Demi menegakkan agama Yang Esa.

Pemimpinku,
Adalah orang yang cekal dan sabar,
Dalam mengharungi dugaan dunia,
Demi menjaga amanah didadanya.

Pemimpinku,
Adalah orang yang sentiasa berkata benar,
Walau kadangkala kebenaran adalah tuba,
Kepada jasad yang telah tercipta.

Pemimpinku,
Adalah orang yang menjaga amanah,
Hingga tak terlena tidur malamnya,
Kerana takut akan azab neraka.

Pemimpinku,
Adalah orang yang berani memegang panji-panji,
Tanpa rasa gentar walau sekali,
Walau diugut, diherdik oleh pihak yang keji,
Namun tidak sekali kau menyembunyikan diri.

Itulah pemimpinku,
Pemimpin yang aku bangga-banggakan,
Kerana sedaya upaya melindungi diriku,
Daripada menjadi mangsa kekejaman.

Itulah pemimpinku,
Yang cuba menjadi seperti Umar,
Yang bukan hanya tutur katanya lancar,
Malah setiap tindakannya berlandaskan aqal.

Wahai pemimpinku,
Aku adalah amanahmu,
Dengarlah luahan hatiku,
Agar sempurna tanggungjawabmu.

Wahai pemimpinku,
Ku tahu berat tanggunganmu,
Namun cubalah untuk bersatu,
Demi kemaslahatan ummah yang jitu.

Wahai pemimpinku,
Hanya itu pesanan buat dirimu,
Agar kau sedar akan beratnya amanahmu,
Demi cinta kepada ALLAH Yang Satu...

Sumber : iluvislam.com

Alyssa.

Indahnya Tentang Takdir (Bukti Cinta Allah)

Kalau benar Allah tu kejam, kau dah pun hangus disambar petir waktu kau lalai tunaikan kewajipan kau sebagai hamba Allah. Contohnya waktu kau tidak mengerjakan solat'

Itu kata seorang temanku sewaktu aku menanyakan soal Neraka dan Syurga. Sewaktu aku menanyakan di manakah tempatnya arwah Iyai, Atu dan Paksu sekarang ini.

Iyai, Atu dan Paksu sudah lebih setahun meninggalkan kami. Dalam payah menerima kenyataan itu, aku pujuk hati aku. Dunia ini hanya sementara dan akhirat juga yang abadi.

Berfikir lagi......

'Perpisahan' itu sebahagian daripada rencana dunia. Iyai, Atu dan Paksu hanya permulaan untuk sengsara ku menghadapi 'perpisahan' dengan orang yang amat aku sayangi.

Sedangkan, di dunia ini masih bernafas mereka yang sangat-sangat aku sayangi dan entah bila 'perpisahan' lain akan terjadi. Maka aku simpan angan-angan untuk bertemu mereka akhirat nanti.

Namun, apakah aku akan bertemu dengan mereka? Sedang aku sendiri tidak pasti di manakah tempat untuk aku di akhirat sana.

Lebih setahun aku cuba merungkai persoalan-persoalan yang sering timbul dalam otak. Akhirnya aku menemui sesuatu yang aku terlalu jahil selama ini.

Yang pertama aku ucapkan, Alhamdullilah... Terima kasih ya Allah atas cinta ini. Dan Subhanallah.... Begitu agungnya cinta Allah.... Akhir sekali, Astagfirullah.... Ampunkan aku wahai Tuhan atas kekhilafanku mempersoalkan bukti cinta-Mu...

Saat menghadapi musibah, aku dipujuk dengan ungkapan, 'itu takdir Allah, kita harus terima'. Dalam rasa sakit hati, kecewa dan sedih mengharunginya aku tidak mampu berfikir secara positif.

Malah, aku mempersoalkan apa itu takdir? Kenapa takdirku begitu? Syukur, kalau bukan kerana soalanku itu, aku mungkin tidak akan memperolehi jawapannya. Mungkin itu sebahagian daripada hikmah Allah atas kurnia musibah kepada ku.

Hidup kita sudah ditentukan sejak azali lagi. Sudah tertulis dalam takdir jalan yang akan kita lalui sepanjang hidup. Maka kenapa Tuhan perlu menghukum kita atas jalan cerita yang ditulis-Nya?

Selalu kita hanya menurut kata takdir. Kita semat dalam minda, hidup kita sudah ditentukan Allah. Kita tidak mampu mengubahnya kerana kita tidak berkuasa. Benar, yang berkuasa hanya Allah.

Hanya Allah yang mampu mengubah segalanya. Kerana itu kita perlu berdoa. Berdoa kepada Allah untuk menjadikan kita lebih baik. Dengan doa, banyak perkara yang boleh berubah. Itulah kelebihan DOA.

Dan aku bertanya lagi... Dengan doa kita boleh mengubah takdir kita?
(aku rasa semakin malu dengan kejahilanku. Tapi malu itu aku tolak ke tepi demi ilmu)

Ya... Ada takdir yang boleh berubah. Takdir tidak semestinya bermaksud kata muktamad untuk hidup kita.

Takdir ada dua, takdir mubram dan takdir mu'allaq.

Takdir mubram ialah qadha dan qadar yang tidak dapat dielakkan. Ia pasti terjadi pada diri manusia sedangkan manusia tidak mempunyai kesempatan atau tidak ada ikhtiar untuk memilihnya. Contohnya seperti hari kiamat dan apabila seseorang meninggal dunia.

Sebagaimana firman ALLAH S.W.T :

'Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu, maka apabila datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat pula memajukannya' [Al-Araf:34]

Takdir mubram ini terdapat pada sunatullah yang ada di alam raya ini. Oleh kerana itu, sunnatullah tersebut juga terbahagi dua iaitu hukum-hukum kemasyarakatan dan hukum alam. Dalam al-Quran surat al- Fushilat ayat 11 dinyatakan bahawa sekali-kali tidak akan pernah terjadi perubahan pada sunnatullah.

Takdir mu'allaq pula ialah qadha dan qadar yang bergantung pada ikhtiar dan usaha seseorang mengikut kemampuan yang ada pada manusia. Dalam menghadapi takdir ini manusia berdoa, wajib berikhtiar atau berusaha ikut kemampuan demi mengubah keadaan menjadi lebih baik buat dirinya. Tentu sahaja soal berhasil atau tidak usahanya bergantung kepada ALLAH S.W.T.

Aku semakin tertarik tentang takdir mu'allaq, takdir yang boleh diubah dengan doa.
(temanku tersenyum. mungkin dia kasihan melihat aku yang sangat teruja.)

Aku mengalihkan pandangan ke depan. Membiarkan telingaku ke arahnya. Biar aku dapat mendengar dengan lebih jelas. (sebenarnya untuk mengelak dia melihat mukaku yang sedang menahan malu dek kejahilanku)

Jangan salah faham dengan takdir mu'allaq itu. Doa saja tidak akan mendatangkan kesan. Pernah dengar makna DUIT? (selamba jer aku jawab, duit itu wang. Benda untuk kita beli sesuatu.) DUIT punya makna yang lebih dalam.

'D' = DOA 'U' = USAHA 'I' = IKHTIAR 'T' = TAWAKAL

Selain berdoa, kita perlu berusaha dan mencari ikhtiar. ALLAH S.W.T menjelaskan dalam firman-NYA :

'Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah keadaan (nasib) sesuatu bangsa sehingga bangsa itu mahu mengubah keadaan (nasib) mereka sendiri.' [Ar-Rad : 11]

Dalam konteks usaha dan ikhtiar, sebagai hamba kita perlu menggunakan akal yang dikurniakan khusus untuk kita sebagai manusia.

Sebagai contoh, apabila kita lapar perlukah kita menunggu orang lain untuk menyuapkan kita makanan yang ada di depan mata kita sedangkan kita sendiri punya tangan.

Demikian juga Tuhan. Allah telah menganugerahkan kita segala kudrat. Dengan kudrat serta akal, Allah menyuruh kita berusaha mendapatkan apa yang kita minta (melalui doa) kerana Allah telah pun memberikan permintaan kita itu (Insya-Allah).

Namun, tidak semua yang kita doakan itu akan Allah berikan. Di sinilah tawakal berperanan.

Tawakal bermaksud menerima dengan redha segala yang telah Allah kurniakan. Tawakal juga menyakini hikmah di sebalik semua yang terjadi. Ada sebab kenapa Allah tidak memakbulkan doa kita.

Sebab yang tentunya untuk kebaikan kita. Dengan tawakal juga, kita tidak akan merasa terlalu kecewa apabila Allah tidak mengabulkan doa kita kerana kita telah yakin akan hikmah di sebalik semuanya.

Apa kaitannya DUIT dengan takdir mu'allaq?

(Pemikiranku yang hanya sejengkal tentang agama ini menerbitkan pertanyaan. Temanku tidak terus menjawab, sebaliknya menceritakan aku suatu kisah sebagai contoh).

Ada seorang gadis menjumpai duit sebanyak 300 ringgit. Semasa dia menjumpai duit itu, tidak ada sesiapa bersamanya. Sudah pasti, seandainya dia mengambil duit itu tidak ada sesiapa pun tahu.

Dia mula berfikir, sama ada mangambil duit itu ataupun membiarkan sahaja. Di sini gadis itu mempunyai banyak pilihan. Melalui pilihan yang dia pilih itulah yang akan menentukan takdirnya.

Satu perkara yang perlu diketahui, takdir mu'allaqq lebih dahulu ditulis sebelum takdir mubram. seandainya gadis itu memilih untuk mengambil duit itu, maka takdir mubram akan tertulis gadis itu sebagai pencuri.

Takdir mubram tidak dapat diubah lagi kerana gadis itu telah mengambil duit yang bukan miliknya. Maka, atas kesalahan mencuri itulah gadis itu akan dihukum.

Tetapi, atas dasar cinta dan kasih Allah, gadis itu tidak terus dihukum malah diberikan kesempatan untuk menginsafi perbuatannya.

Di sini doa juga memainkan peranan. Dalam kekeliruan, gadis itu berdoa. Memohon kepada Allah untuk ditunjukkan kepadanya hidayah.

Dengan izin Allah, gadis itu mendapat ilham untuk mengembalikan duit 300 ringgit itu ke balai polis.

Oh... begitu rupanya. Hari ini baru aku tahu takdir itu ada juga yang boleh diubah dengan 'DUIT'?

Menyedari hakikat itu, kini semuanya terletak di tangan kita. Memang Allah telah menulis takdir kita, namun kita juga boleh meminta untuk menjadi yang lain. Kita masih diberikan peluang untuk menjadi yang baik. Selagi kita bernafas, selagi kita diberikan hidup, selagi itulah peluang ada untuk kita.

Lihatlah sahabat, betapa Tuhan juga punya toleransi. Sebesar mana dosa yang kita lakukan, selagi kita hidup selagi itulah pintu keampunan Allah terbuka luas untuk kita. Kita hanya perlu tepuk dada dan tanya hati kita.

Namun yang sedihnya, apabila ada antara kita yang merasa layak untuk menghukum. Dan sebilangan besar dari kita sukar untuk memaafkan.

Terlalu sukar untuk memberikan peluang kepada insan lain untuk berubah. Apakah kita sudah merasa setaraf dengan Tuhan untuk menghukum orang lain tanpa memberikan peluang?

Ya Allah, betapa singkatnya pemikiranku selama ini. Aku mencari-cari bukti cinta-Mu dari semua musibah yang menimpahku. Tetapi sukar untuk aku mendapatkannya kerana kejahilanku tentang sifat-Mu.

Terima kasih ya Allah atas kekeliruan ini kerana jika tidak kerana kekeliruan ini, tidak akan terlintas di benakku untuk mengenali-Mu dengan lebih dalam.

Semakin aku mengenali-Mu aku semakin yakin dengan kasih-MU.

Sumber : iluvislam.com

Alyssa.

Bila Memuji

Memberikan pujian kepada orang lain adalah termasuk di dalam komunikasi. Saya ingin menyentuh mengenai cara memberi pujian kepada orang. Ini kerana kadang-kadang, dengan pujian kita itu mampu menaikkan semangat orang dan kadang-kadang boleh merosakkan hidup mereka juga.

Dalam Islam, sesungguhnya pujian semata-mata kerana Allah, dan untuk Allah jua.

Islam melarang kita memberi pujian yang melampau kepada manusia kerana bimbang akan timbulnya perasaan riak dan takbur. Bahayanya memberi pujian ada dinyatakan di dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Diriwayatkan, Rasulullah s.a.w mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain, lantas Baginda s.a.w bersabda yang maksudnya:

"Malang kamu! Sesungguhnya kamu sudah memotong lehernya! Kemudian Baginda s.a.w menambah: "Sekiranya seseorang daripada kamu tidak dapat mengelak daripada memuji temannya maka hendaklah dia berkata, saya kira begini, jangan sekali-kali dia menyucikan seseorang mengatasi Allah." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Ini menunjukkan sekiranya kita mahu memberi pujian kepada seseorang, kita kena dahulukan dengan pujian kepada Allah. Kerana segala pujian itu, kita tujukan kepada Allah dan sesungguhnya segala kelebihan yang ada pada seseorang itu diberi oleh Allah s.w.t. Dengan itu, teman atau orang yang mendengar pujian itu akan sedar bahawa dia tidak memiliki apa-apa sekiranya tidak dikurniakan Allah dengan segala kebaikan atau kelebihan tersebut.

Pujian yang diberi itu kadang-kadang membuatkan orang yang mendengarnya mempunyai dua keadaan. Samada senang dengan jawapan itu atau terkadang tidak tahu apa nak dijawab/ serba salah.

Contoh selalu yang kita dengar:

"Awak ni cantiklah."
Jawapan yang selalu kita dengar:
"Eh, ye ke?" dan sebagainya.

Bagi mereka yang memang menanti untuk dipuji akan merasa gembira dan kegembiraan itu akan ditakuti membawa kepada dosa. Ia mampu untuk menjadikan orang tersebut berbangga diri dan merasakan dirinya saja yang terbaik. Mafhum hadis Rasulullah s.a.w. :

"Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah kagum kepada buah fikiran dan diri sendiri. Sesiapa yang mendakwa dia orang yang beriman, maka sebenarnya dia kafir. Dan sesiapa yang mendakwa dia orang yang berilmu, maka sebenarnya dia jahil. Dan sesiapa yang mendakwa dia ahli Syurga, maka sebenarnya dia ahli neraka." [Hadis riwayat Ibn Marduwaih]

Namun begitu, kita perlu membezakan antara memuji (ada udang sebalik batu) dengan memberikan pengiktirafan dan penghargaan. Memberikan pengiktirafan dan penghargaan digalakkan bertujuan memberi galakan, melebarkan silaturahim dan mengeratkan kasih sayang.

Niat perlu dijaga sepanjang waktu. Contoh pujian atau penghargaan kepada isteri/ suami dan anak-anak, teman-teman atau sesiapa sahaja.

Dan seeloknya kita mengucapkan ucapan tahniah sekiranya sesuatu kebaikan yang dia terima sebagai penghargaan.

Oleh itu, mulai sekarang mari kita sama-sama melakukan perubahan. Kita memberi pujian secara ikhlas kepada anak-anak kita, pasangan, teman-teman atau sesiapa saja dengan pujian terhadap Allah dahulu dan seterusnya memberikan penghargaan kepada mereka.

Cara beri pujian. "Masya-Allah, cara awak menyampaikan ucapan tadi sangat berkesan, tahniah."

Dan sekiranya kita yang menerima pujian, teruskan lah memuji Alllah, kembalikan pujian itu kepada Allah, kerana kita tiada punya apa-apa kerana semua yang kita miliki adalah pinjaman daripada Allah jua.

Cara menjawab: "Alhamdulillah. Milik Allah jua. Saya cuma menyampaikan yang terbaik."

Oleh itu, sama-samalah kita menjaga lisan kita agar peribadi kita sentiasa dalam keadaan baik dan mendapat berkat Allah, walaupun perkara itu jarang kita perasan dan tidak pernah terfikir dengan perkara-perkara kecil, mungkin akan menjadi bonus untuk timbangan kita di Padang Mahsyar nanti, Ameen.

Saya akhiri dengan terjemahan ayat:

"Segala puji hanya untuk Allah, Pencipta dan Penguasa seluruh alam." [Surah al-Fatihah, ayat 2]

Sumber : iluvislam.com

Alyssa.

Kenapa Hati Ini Kaku?

aya bukanlah orang yang terbaik memberi tazkirah. Orang yang dekat dengan saya sangat arif dengan saya dan kelemahan saya, tentunya kata-kata saya boleh dipersoalkan kerana banyaknya dosa-dosa yang masih berbekas dalam diri saya. Saya berkata ini bukan untuk membersihkan diri saya, apatah lagi mengatakan saya bagus, tapi itulah hakikatnya. Ada beberapa perkara yang saya rasa sangat sukar untuk dicabut dari dalam hati saya kerana hati saya masih asyik melakukannya...

Berkata seorang ulama;

Bagaimana akan dapat terangnya hati seseorang itu yang gambar dunia ini terlukis pada cermin hatinya? Atau bagaimanakah akan dapat menuju Allah padahal dia masih terikat dengan nafsu syahwatnya?Atau bagaimana akan dapat memasuki hadrat Allah taala padahal dia belum suci dari kelalaiannya( janabah)? Atau bagaimana dia berharap akan dapat mengerti rahsia-rahsia yang halus padahal dia belum bertaubat dari kekeliruannya?

rasanya kalau dapat baca text Arab tentu akan lebih faham apa yang penulis ini maksudkan..

katanya juga: Takkan mungkin berkumpul dua perkara yang berlawanan dalam satu tempat dan masa, mustahil akan terkumpulnya jahat dan baik, begitu juga mustahil akan terkumpul diam dan gerak, cahaya dan kegelapan. Demikian pula nur (cahaya) iman berlawanan dengan kegelapan akibat masih bersandar kepada sesuatu selain dari Allah. Demikian pula berjalan menuju Allah haruslah bebas dari belenggu hawa nafsu.

FirmanNya:

'Bertaqwalah kepada Allah dan Allah akan mengajarkanmu '

Rasulullah sendiri bersabda:

'Siapa yang mengamalkan apa yang telah diketahui maka Allah akan mewariskannya apa yang tidak diketahuinya'

Sahl bin Abdullah Atustary r.a berkata: kebaikan itu terhimpun dalam 4 pekara, dan dengan itu akan tercapai peringkat kewalian:

a) Lapar

b) Diam

c) Menyendiri

d) Bangun malam...

Innallaha ghafurun rahim.. sesungguhnya Allah penerima taubat dan penyanyang.. mungkin orang yang mendengar adalah lebih baik dari yang memberi...

Wallahualam..

Sumber : iluvislam.com

Alyssa.

Kuasa Taqwa

Subhanallah, besar sungguh kuasa taqwa. Sebesar makna sebuah taqwa. Apa itu taqwa?

Dari Abu Dzar bin Junadah dan Abu Abdurrahman Muadz bin Jabal radhiyallahu'anhuma, dari Rasulullah S.A.W Baginda bersabda, "Bertakwalah kepada Allah di mana pun engkau berada. Iringilah kejelakan dengan kebaikan, nescaya kebaikan tersebut akan menghapuskannya. Dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik." (HR. Tirmidzi, dan dia berkata: Hadis Hasan Shahih. Hasan dikeluarkan oleh at-Tirmidzi di dalam [al-Bir Wash Shilah/1987] dan dishahihkan oleh al-Albani di dalam al-Misykat [5083])

Taqwa di mana? Bila? Bagaimana?

"Bertaqwalah kepada Allah.." sudah jelas ia adalah satu ayat perintah. Samalah seperti ayat yang menyuruh kita untuk tidak melanggar undang-undang dan lain-lain. Bukan satu arahan yang main-main seperti :

"Kalau senang, bertaqwalah ye..."

"Nanti kalau kamu ada masa, kamu bertaqwalah.."

Tidak!

Taqwa ini adalah satu suruhan oleh Allah dan Rasul. Ia adalah satu urusan yang perlu dibina setiap waktu. Perkara yang perlu kita perhalusi. Perlu dicantikkan. Perlu dikuatkan.

Maka, mahu atau tidak, taqwa ini perlu kita bina.

Tetapi sebelum kita pergi lebih jauh dan semakin saya membuatkan anda lebih tidak faham apa yang saya cuba katakan, sebaiknya kita kupas dahulu apakah maksud taqwa?

Taqwa berasal dari perkataan waqa–yaqi–wiqoyah yang ertinya memelihara. Di sekolah kita diajar taqwa ini adalah takut kepada Allah. Takut cumalah sifat yang ada dalam taqwa. Dengan membawa erti pelihara, taqwa ini akan memberi makna yang lebih besar.

Contohnya, seorang lelaki takut untuk bermesra dengan seorang wanita bukan muhrimnya. Ketakutannya datang ketika itu sahaja. Tetapi, sekiranya seorang lelaki itu memelihara dirinya dari bermesra dengan wanita bukan muhrimnya, dia sentiasa cuba untuk menjaga dirinya setiap masa. Dan ketika dia diuji, perasaan takut tadi lahir daripada usahanya memelihara dirinya.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan". [at-Tahriim: 6]

Maka , jika taqwa adalah memelihara, boleh kita mudahkan yang taqwa ini seumpama "mine detector" (kesan bom bawah tanah).

Taqwa ini memberikan kita amaran bahaya.

"Teet..Teet... Ha!! Fulan bin Fulan. Jangan jalan dekat depan. Belok kanan. Di depan ada syaitan dan nafsu..."

Tetapi dengan degilnya diri ini cuba juga untuk melawan kata-kata dari taqwa itu tadi.

Maka apabila berdepan dengan bahaya, taqwa ini bertukar menjadi baju perisai. Sebagaimana sepatutnya ia menjadi pemelihara.

Dan firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)".[al-A'raaf: 26]

Maka sepatunya telah jelaslah taqwa itu adalah pemelihara dan pengawal. Semasa kita menjadikan taqwa itu sebagai kubu atau benteng kita, kita telah meletakkan Allah di hadapan kita. Kita meletakkan Allah sebagai benteng kita. Kita meletakkan rasa kehambaan sebagai panduan. Kita meletakkan keinginan Allah di hadapan berbanding keinginan diri kita.

Di tempat di mana pun engkau berada engkau pasti bertaqwa. Engkau tidak hanya bertakwa kepada Allah di tempat yang di sana orang-orang melihatmu saja. Dan tidak hanya bertakwa kepada-Nya di tempat-tempat yang engkau tidak dilihat oleh seorang pun, kerana Allah sentiasa melihatmu, di tempat mana pun engkau berada. Oleh karena itu, bertakwalah di mana pun engkau berada.

Bagaimana?

Kita disuruh bertaqwa tetapi kita tidak tahu apakah sebenarnya alat untuk bertaqwa. Mari kita lihat antara ciri-ciri taqwa.

Ketika seorang sahabat bertanya Umar, bagaimana itu taqwa, Umar mengatakan ia seperti berjalan di atas jalan berduri. Kita akan menarik ke atas sedikit kain jubah kita dan berjalan dengan hati-hati.

Lihat, kita tidak mahu duri dosa-dosa itu mengoyak jubah kehidupan kita dalam kita mengharungi jalan untuk bertemu Kekasih Teragung, Allah S.W.T.

Adakah seorang kekasih mahu berjumpa kekasihnya dengan pakaian yang koyak rabak. Malah, dia akan berhati-hati terhadap semua perbuatannya.

Sesungguhnya, taqwa itu adalah satu cahaya nurani yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. Dengannya kita akan menjadi peka. Sebagaimana pekanya seekor kucing apabila terbau friskies. Atau sebagaimana tiba-tiba kita merasa tidak sedap hati terhadap sesuatu. Itu adalah satu rasa yang Allah kurniakan. Tetapi taqwa ini adalah rasa yang lebih khusus. Di mana ia dapat menghidu bahaya dosa dan tidak mahu terjebak dengannya. Hatinya meronta untuk jauh daripadanya. Itulah taqwa. Dan ia tidak selesa berada dalam dosa. Itulah taqwa.

Maka Allah mencipta alat-alat yang hebat untuk membina rasa hati yang bernama taqwa itu.

Sekarang, anda semua sudah tahu apa itu semua.

Itulah ibadah yang Allah ciptakan.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas umat-umat sebelum kamu agar kamu bertaqwa" [al-Baqarah: 183]

Bukankah itu bukti yang ibadah-ibadah ini membentuk taqwa?

Iman dibina dengan satu kepercayaan yang tidak berbelah bahagi tetapi bukan satu percaya kosong. Ia disertakan dengan bukti bersama hujah. Kerana itu, Islam adalah "agama" yang punya bukti. Bukan cuma dogma mainan ilusi atau percaya buta.

Bahkan dalam Islam istilah taqlid buta tidak ada. Bahkan mahu beribadah sahaja, kita perlu tahu buktinya dan kita faham kekuatan asal-usulnya mengikut sunnah dan syariah atau tidak.

Cuba lihat dengan begini :

Insan—> Muslim—> Mu'min—> Muttaqin

Seorang insan itu apabila dia menjadi Muslim, dia sudah meletakkan Allah sebagai rabb dan Rasul sebagai panduannya. Tetapi Imannya perlu dibina, sebagaimana seorang askar prebet dinaikkan pangkat menjadi Leftenan.

Kemampuan Leftenan berbeza dari prebet. Maka dia juga perlu diasuh untuk jadi Leftenan. Latihannya berbeza. Sebagaimana latihan komando, berbeza dari latihan askar biasa.

Tetapi prinsip latihannya sama.

Seorang Muslim tetap solat. Tetapi seorang Mu'min solatnya berlainan. Solatnya yang wajib dikerjakan. Bezanya, dia kuatkan solat itu dengan kekuatan khusyuk.

Dia memahami bahawa solat itu adalah tanda dia adalah hamba dan dia menjadi hamba setiap waktu dan dia mengakui dirinya sebagai hamba setiap hari lima waktu. Adakah dia akan mahu melawan "Towkey" yang memilikinya pada waktu yang lain?

Itulah ketika ia menjadi taqwa. Ia menjadi muttaqin. Ketika itu jugalah amal ibadahnya cuba ditingkatkan. Dia cuba menguatkan lagi dengan solat-solat sunat, qiam, solat rawatib dan lain-lain. Puasanya jelas pada zahir dan batinnya. Zakatnya bukanlah sekadar untuk lepas syarat. Dia memahami tentang apa yang dia cuba lakukan dengan sebenar-benarnya.

Ketika itulah setiap perbuatannya cuba dilakukan dengan berhati-hati supaya dia sentiasa berjalan dalam langkah hamba yang mensucikan dan memelihara diri.

Itulah taqwa... itulah kuasa taqwa.

Ittaqullah...

Sumber : iluvislam.com

Nurun Amni.

Kita Berbeza Di Bawah Langit Yang Sama

Kopi yang masih panas kucicip perlahan. Kurang manis. Aku mencapai satu paket gula, mengoyakkan bucunya lalu mencurahkan isinya ke dalam cawan putih bermulut heksagon. Tanganku mengacau sudu sambil mata merenung jauh.

"Kenapa kau diam? Tak betulkah apa yang aku katakan?". Pandangannya menuntut jawapan. Dia turut menghirup teh manis di dalam cawan di hadapannya.

Aku masih diam. Persoalan yang dihamburkan membuat aku malas mahu melayan.

"Hilwah... kau marah?"

Aku menggetis donat di dalam piring, lalu menyuapkannya ke mulut. "Buat apa aku nak bertekak tentang persoalan yang kau sendiri telah punya jawapan dan pilihan."

"Aku bukan mengajak bertekak, Hilwah. Tapi berkongsi pandangan," balasnya. Dia mengorak senyum. "Err, tapi maksud kau, betullah kau bersetuju bila aku katakan profesion perguruan itu serendah-rendah karier dalam kelas profesional?

Aku teguk lagi kopi yang masih hangat. Menarik nafas. "Ya... dan tidak." Aku menjawab acuh tidak acuh. Hakikatnya pantai hatiku sedang diamuk gelora. Rasa terhina!

"Maksudmu?"

Aku memerhatikan gelagat beberapa orang AJK seminar yang gesit berpergian ke sana ke mari. Sibuk mengurus bahan-bahan untuk pembentangan kertas kerja sesi petang. "Ya, dari sudut material, mungkin. Atau stratifikasi kelas profesional. Jika dari sudut itu, aku akui. Tetapi tidak jika kau katakan profesion guru itu serendah-rendah kerjaya dari aspek khidmat bakti, budi, hatta martabatnya di sisi Tuhan."

Dia terlongo. Kemudian perlahan-lahan menguntum senyum. "Kau sebenarnya marah padaku, bukan?"

Aku sekadar diam. Dan menjeling geram.

"Hati-hati, nanti matamu juling!" usiknya.

Segaris senyuman pun tidak terlukis di bibirku. Pedulikan!

"Maafkan aku tentang hari itu."Matanya tunak merenung anak mataku. Tajamnya menembus ke jantung! Aku melarikan pandangan, dan sedikit terpinga. "Maaf? Tentang apa?" Baki donat di tangan, aku suapkan ke mulut. Gula yang melekat pada jari kukesat dengan sehelai tisu yang sudah keronyok.

"Maafkan aku kerana aku telah berkahwin." Roman mukanya menggambarkan kekesalan.

Aku terperanjat. Eh, kenapa soal ini pula yang ditimbulkan? "Kenapa minta maaf? Salahkah jika berkahwin?" Aku pura-pura berlagak selamba. Mengenang peristiwa bulan sudah ketika aku keluar ke pusat membeli-belah. Niat di hati mahu mencari hadiah hari jadi untuk teman baikku, Suraya. Jadi, aku keluar seorang diri. Dan Tuhan telah memperlihatkan kepadaku pada hari itu, dia sedang mendukung seorang bayi sambil tangan kirinya memegang tangan seorang wanita kecil molek. Mata kami bertembung. Dan dia kaget. Gelabah.

"Aku tahu hatimu, Hilwah. Takkan kau telah lupakan segala kenangan kita di bangku sekolah?" Tampangku tertampan di kornea matanya, tidak mahu lepas-lepas. Aku kalah pada renungan itu, lalu mengalih pandang kepada cawan putih di hadapanku, berenang di dalam cairan kopi yang hitam pekat.

Semilir kenangan kembali berhembus di ranting ingatan. Dahulunya, dia seniorku ketika di bangku sekolah menengah. Aku masih ingat, setiap kali tiba waktu rehat, pasti dia dan beberapa teman baiknya akan datang ke kelasku. Mengintai-intai gerakku. Sepi tanpa suara, dan langsung tiada usikan. Juga tiada surat cinta. Hanya pandangan mata berbicara. Tetapi itu tidak lama kerana dia berpeluang menyambung pengajian di universiti, sedangkan aku masih di tingkatan dua. Segala yang pernah berlaku terus lesap dikaburi cita-cita masa depan.

"Masakan aku lupa, Is. Tapi kita tak punya apa-apa hubungan aku kira. Sekadar rasa di hati. Setiap manusia pasti punya naluri demikian. Itu fitrah." Kopi sudah suam. Aku meneguk sekali. Rasa pahit di tekak tiba-tiba.

"Tapi aku tahu, kau masih miliki rasa terhadapku hingga saat ini. Jangan kau nafikan, Hilwah." Kening lebatnya bertaut. Renungannya tajam.

"Is, aku minta diri dulu. Majlis dah nak mula." Aku gesit berdiri sambil mencapai beg tangan berona coklat di atas meja beralas cadar merah jambu. Sekonyong-konyong, beg tangan itu terasa seperti tersangkut pada sesuatu. Berat. Aku memandang sekilas. Dia menarik beg tanganku!

"Kenapa ni, Is?"

"Aku tetap tahu hatimu biarpun kau diam atau tidak mengakui. Aku tahu, Hilwah..." Beg tanganku dilepaskan. Dan aku berlalu dengan mengusung hati yang libang-libu.

Aku sengaja sign in ke Yahoo Messenger dengan status available. Tumpuanku tidak pula ke situ. Tanganku cekatan menaip sebuah artikel untuk dipos ke blog yang aku kira sudah semakin semak dan bersawang akibat tidak dikemaskini beberapa lama.

Buzz! Aku terperanjat. Melihat tetingkap Camar Senja terpapar di skrin komputer riba.

"Hilwah, aku tetap bertegas mengatakan karier pensyarah adalah lebih baik berbanding guru!"

Batinku serasa berasap mendengar kenyataan itu. "Kau ni kenapa, Is? Tanpa salam, terus saja redah cakap merapu-rapu!" Aku sedikit radang.

"Kenapa, kau tiada hujah untuk membidas kenyataanku itu? Kerana ia benar, bukan?"

"Tidak! Tak kuasa aku nak melayan kerenah kau yang entah apa-apa. Perasan sangat!" Aku membalas geram.

"Perasan atau kau sebenarnya telah mengaku kalah?" Dia mengirim senyuman ketawa berdekah-dekah. Aku kian hangat. Kugenggam jari-jemari dan berderap-derup bunyinya. Segera ku taip, "Kau tahu, aku pernah membaca ungkapan ini 'kemenangan yang sebenar adalah dengan mengaku kalah'. Ertinya, aku menang lantaran tidak mahu berbalah dengan kau!"

"Tidak. Kau tidak menang selagi tidak dapat mematahkan hujahku... Bagi aku, kerjaya guru layak dipohon oleh sesiapa saja, hatta tukang kebun!"

Ini sudah melampau! Tuduhan melulu tidak berasas. Pasti sengaja mahu menaikkan darahku. "Eh, kau ni betul-betulkah pensyarah? Jangan cakap melulu saja. Kau tak tahukah, untuk menjadi guru perlukan pengetahuan pedagogi. Serba-serbi tentang dunia pendidikan kena tahu. Dan aku rasa, kau juga tidak punya pengetahuan pedagogi! Menurutku, untuk menjadi pensyarah tidak semestinya perlukan pengetahuan itu." Aku berhenti sejenak. Berfikir dalam-dalam sebelum meneruskan. "Tukang kebun dengan dunia tukang kebunlah. Jika tukang kebun kurang arif tentang dunia guru, kita pun serupa. Kurang dari segi ilmu perkebunan. Bukankah kita ini saling lengkap-melengkapi. Ha, jangan kau nak hina tukang kebun pula! Ingat, datukmu dahulu tukang kebun juga!" Aku sengaja melemparkan paku buah keras.

"Ahh!! Kau jangan nak kaitkan dengan datuk aku pula."

Aku sengaja tidak membalas. Malas sungguh mahu melayan sikapnya yang keanak-anakan itu, sedangkan hakikatnya sudah pun menjadi bapa orang.

Buzz! "Kalau kau perhatikan, guru sering tidak ke mana-mana. Di takuk itu jugalah, tak berubah-ubah sampai pencen! Cuba kau lihat pensyarah. Lepas dapat M.A. sambung Ph.D pula. Kemudian sambung lagi, dan lagi. Aku kira, hanya golongan pensyarah yang mentradisikan pembelajaran sepanjang hayat."

Aku naik jelek. Rasa meluat meluap-luap dalam dada. "Aku tak faham kenapa kau terlalu ghairah untuk mengangkat kedudukan kerjaya sendiri." Anak rambut jatuh berjuntaian di dahi. Gesit aku menyelit di belakang telinga. "Hmm, bagi aku, pembelajaran sepanjang hayat bukanlah mesti melalui proses formal semata. Bukan sekadar belajar daripada buku-buku, teori atau kajian ilmiah, bahkan dari kehidupan dan pengalaman itu sendiri. Cuba kau lihat golongan lama di kampung-kampung. Mendengar kuliah ilmu di masjid-masjid, menadah kitab di pondok-pondok, belajar sesuatu melalui pemerhatian dan renungan terhadap alam, itukan juga suatu pembelajaran, meski tidak formal. Tidak perlu berpangkat pensyarah atau berlenggang bawa 'telinga' masuk ke dewan kuliah baru boleh dikatakan sebagai belajar. Kehidupan ini madrasah, Is. Sekolah. Kita sentiasa belajar daripada sekolah hidup..." Aku menyudahkan rangkaian ayat-ayat tersebut dengan senyuman puas.

Camar Senja is typing a message. "Ya, baiklah. Aku setuju. Tapi apa pendapat kau tentang karier guru? Guru dengan pensyarah; mana lebih baik?"

"Is, aku takkan menghukum mana yang lebih baik. Masing-masing ada kurang lebih tersendiri. Misalnya, jika kau katakan pensyarah itu lebih baik, alasannya mungkin kerana tangga gajinya yang lebih tinggi, ruang kerja yang lebih kondusif dan eksklusif. Gelar 'pensyarah' itu sendiri sudah kedengaran gah berbanding guru."

"Akhirnya kau mengaku juga..."

"Aku belum habis, Is. Sudah aku katakan, aku tidak berpihak kepada mana-mana. Selama ini pun, aku langsung tidak pernah terfikir untuk membandingkan di antara dua kerjaya itu, atau kerjaya-kerjaya lain juga. Apa yang penting, setiap pekerjaan itu niatkan ikhlas kerana Allah. Di situlah nilainya."

"Aku tetap mahu penjelasan kau tentang karier guru."

Aku mendengus marah. Genggaman penumbuk aku acukan ke skrin komputer. Geram. "Kau ni degil ya? Bapa yang sungguh degil! Kelak, anak-anakmu akan mewarisi kedegilan itu."

"Teruskan saja... Aku ini bapa muda, tahu?"

Aku mencebik. Perasan! Jari-jemariku kembali menekan-nekan papan kekunci. Menaip pantas. "Baiklah. Secara peribadi, karier guru bagiku lebih mulia berbanding pensyarah. Bukan mudah untuk menjadi guru, Is. Tapi jika mahu jadi pensyarah, serasaku lebih senang. Gelarnya juga pensyarah. Masuk ke dewan kuliah, bersyarahlah semata tanpa terlalu menitikberatkan sama ada pelajar faham apa tidak. Guru sebaliknya. Dia harus 'menyuap' pelajar ketika pelajar itu masih kosong. Tidak punya sebarang asas pembelajaran. Jadi, mana lebih susah?"

"Pelajar universiti kan sudah dewasa. Bisa hidup mandiri. Tidak perlu 'disuap' lagi..." Dia tiba-tiba mencelah.

"Tunggulah aku habiskan ayat, Is. Kata mahu dengar hujahku."

Dia mengirimi senyuman malu tersipi-sipu. "Okey, okey..."

"Kau harus tahu. Guru turut berperanan sebagai ibu dan ayah kedua selain mengajar. Misalan yang dapat aku bawa, ada sebahagian guru di pedalaman yang terpaksa memandikan pelajar dan bedakkan mereka sebelum pengajaran bemula. Ini kerana pelajar-pelajar tersebut tidak pernah mandi pagi. Lantaran itu, memandikan mereka merupakan salah satu pendekatan untuk memberitahu mereka tentang kepentingan menjaga kebersihan diri." Jeda memanipulasi. Fikiranku ligat berputar, bagai roda di atas jalan. Aku meneruskan. "Malah, guru lebih dekat dengan pelajar jika dibandingkan dengan pensyarah. Pelajar tidak segan silu untuk bertemu guru tentang apa juga permasalahan, hatta maslah peribadi. Hal sebalknya berlaku kepada pensyarah. Pensyarah dengan pelajarnya seolah-olah ada jurang yang lebar membataskan hubungan kedua-duanya untuk lebih hampir. Mungkin kerana taraf atau status pensyarah itu yang dipandang eksklusif, kononnya..."

Tiada balasan. Sepi. Aku melihat statusnya: Offline. Aku mengeluh. 'Merajukkah orang tua ni?' Aku yang sejak awal malas mahu melayan fiilnya terus hanyut dalam timbunan buku-buku dan abjad-abjad di skrin komputer.

Kafe Fakulti Pendidikan lengang, tidak ramai pelanggan. Aku terus menghirup bihun sup yang masih panas berasap. Lapar mencucuk-cucuk sehingga aku tidak lagi pedulikan tampang di hadapanku.

Dia tersenyum. "Bagus juga hujah kau semalam, Hilwah. Maaf, aku terpaksa sign out sebab ada hal mengejut. "Dia sekadar menghirup teh O ais limau menerusi straw berjalur putih jingga di atas meja tanpa alas.

"Kenapa? Anak meragam? Atau isteri merajuk melihat suami berchatting dengan perempuan lain?" Aku sengaja mencucuk. Mahu melihat riak muka.

Dia ketawa anak. Mukanya merah. "Ke situ pula fikiranmu." Dia menyambung tawa.

Aku mengerling dengan ekor mata. Lidah tiba-tiba rasa melecur dek bihun yang panas. Segera kuteguk sirap limau yang sudah sedikit cair ketulan aisnya.

"Aku sayangkan kau, Hilwah."

Aku melatah terkejut. Telinga turut berdesing. "Kau nampak longkang tu?" Telunjukku menuding ke arah longkang yang tidak jauh dari tempat kami berada. Dia membuang pandang mengikut arah telunjukku. "Buang sayangmu di situ!"

"Kau menghina aku, Hilwah?"

"Tidak. Aku bukan menghina. Tapi sayangmu tidak berhak untukku."

"Kenapa?"

"Jangan jadi bodoh. Kau punya anak dan isteri. Beri sayangmu kepada mereka."

Mukanya memerah. Menahan malu barangkali. Tapi biarlah aku pasakkan ketegasan di hadapan lelaki ini.

"Is, aku ini hanyalah seorang bakal guru... Kata orang dulu-dulu; enggang terbang bersama enggang. Pipit dengan pipit mengepak bersama..."

Seleraku sudah patah. Aku tinggalkan mangkuk bihun yang masih berbaki sedikit sambil direnung hampa olehnya. Hatiku sendiri kosong.

Sumber : iluvislam.com

Nur Farah Aisyah.

Hati Sebesar Cawan Dan Hati Sebesar Kolam

"Aduhai, kenapakah hidup aku selalu dirundung malang begini..?" lelaki muda itu berkeluh-kesah. Selama hidupnya, dia tak pernah merasakan ketenangan yang sebenar. Hatinya tidak pernah sepi daripada merasakan kerisauan.

Fikirnya, Tuhan tidak pernah sudi meminjamkan kedamaian hati padanya. Dia sangat cemburu apabila memandang sekeliling. Mereka bebas ketawa dan mudah tersenyum. Tapi dia? Dia hanya mampu tenggelam dalam dunia sepi dan resahnya sendiri.

Hatinya tidak mampu mengisi segala masalah yang menghimpit jiwanya. Lalu, selepas lelah dan puas berfikir, suatu hari dia melangkah longlai menuju ke hujung kampung. Niat hatinya, ingin menemui seorang lelaki tua.

Saban hari, wajah lelaki tua itu sentiasa kelihatan tenang. Damai sentiasa bertamu diwajahnya. Dia ingin sekali meminta rahsia. Lalu, dia terus berperi kepada lelaki tua tersebut.

Masalah keluh kesah dan kerisauannya didengari lelaki tua itu sambil tersenyum. Lalu dia mengajak lelaki itu ke suatu tempat iaitu ke tepi sebuah kolam yang besar sambil membawa sebiji cawan dan dua bungkus garam. Lelaki itu mengikut, walaupun hatinya sedikit hairan.

"Anak muda," lelaki tua itu bersuara.

"Ambillah cawan ini, isikanlah air dan masukkanlah sebungkus garam," ujarnya lagi. Lelaki itu yang dalam kebingungan hanya menurut.

Cawan diambil, air diisi dan garam dimasukkan. Kemudian lelaki tua itu berkata lagi.

"Sekarang kamu minumlah air tersebut," dalam bingung yang masih bersisa, lelaki itu mengikut kata lelaki tua itu.

" Apa rasanya?" tanya lelaki tua itu apabila melihat kerutan di dahi lelaki tersebut.

" Masin!"

Lelaki tua itu tersenyum lagi.

"Sekarang, kamu masukkan pula sebungkus garam ini ke dalam kolam itu. Kemudian kamu hiruplah airnya."

Lelaki tua itu menunjukkan arah ke kolam. Sekali lagi lelaki itu hanya mengikut tanpa menyoal. Air dicedok dengan kedua belah tapak tangan dan dihirup.

"Apa rasanya, wahai anak muda?" soal lelaki tua itu.

"Tawar, tidak masin seperti tadi," lelaki muda itu menjawab sambil mengelap mulut.

"Anakku, adakah kamu memahami kenapa aku meminta kamu berbuat begitu tadi?" tanya lelaki tua itu, sambil memandang tepat ke arah lelaki tersebut. Lelaki itu hanya menggeleng. Lelaki tua itu menepuk-nepuk bahu lelaki tersebut.

"Anakku, beginilah perumpamaan bagi diri kita dan masalah. Garam itu umpama masalah. Cawan dan kolam umpama hati kita. Setiap orang mempunyai masalah, ditimpa masalah dan diuji dengan masalah. Tetapi, kalau hati kita sebesar cawan, maka kita akan merasai pahitnya masalah itu, pedihnya hati kita dan keluh kesahnya kita."

"Tetapi kalau hati kita sebesar kolam, masalah tidak akan mengganggu kita. Kita masih boleh tersenyum sebab kita akan mengerti masalah bukan hadir untuk menyusahkan kita. Masalah dianugerahkan untuk kita berfikir, untuk kita muhasabah diri. Masalah dan ujian akan memberi hikmah kepada kita."

"Anakku, itulah rahsiaku. Aku sentiasa berlapang dada, aku sentiasa membesarkan jiwaku, supaya aku boleh berfikir tentang perkara-perkara lain dan masih boleh memberi kebahagiaan padaku. Aku tidak akan sesekali membiarkan hatiku kecil seperti cawan, sehingga aku tidak mampu menanggung diriku sendiri."

Maka, pada petang itu lelaki itu pulang dengan senyuman yang terukir di bibir. Dalam hati, dia berjanji akan sentiasa membesarkan jiwa dan berlapang dada.

Sumber : iluvislam.com

Anis Syazwani.

Ingatlah Allah Sentiasa

Hamba-Hamba ALLAH Sekalian,

Allah catitkan di dalam Al-Quran tentang manusia-manusia yang berasal dari air mani dan kemudian dibesarkan..akhirnya menjadi pengkhianat yang nyata. manusia-manusia begini dimurkai oleh Allah, tuhan orang muslim...oleh itu apakah kita yang Muslim ini, jika telah mengkhianati Allah, tidak terasa setinta takut kepadanya?

Allah ciptakan syurga, di dalamnya manusia bersenang lenang dan ditemani pasangan cantik- cantik, air sungai yang mengalir tenang, syurga yang amat indah terlebih indah sehingga tidak terfikirkan untuk orang-orang yang ikhlas menyerahkan dirinya dan takwa kepada Allah.

Dunia ini kata Muhammad, umpama setitis air dari selautan, dan selautan itu adalah
akhirat...bayangkanlah, jika yang setitis nih pon kita telah tergoda oleh cantik dan
indahnya..bagaimana pula yang selautan itu? dapatkah kita gambarkan?

Manusia-manusia yang menyerahkan diri pada agama Allah tidak akan rugi, kemenangan manusia di dunia ini adalah dalam agamanya...jadilah manusia yang hebat di dunia dan di akhirat!

Bacalah al-quran, dekatkan lah minda kepada hadis...teguhkan ukhuwah sesama Muslim..kita perlu kuat untuk menentang segala pengaruh yang melemahkan kita. bersederhanalah dalam berhibur...bersederhanalah memenuhkan jiwa
dengan keseronokan, kita kini dipermainkan musuh-musuh Allah. mari kita kuatkan diri kita, kuatkan masyarakat kita, kuatkan negara kita..dalam memperjuangkan agama..takbir!!

..dengan mengingati Allah...hati akan menjadi tenang..

Sumber : iluvislam.com

Wan Hifni Aiman.

Biarlah Kesudahan Kita Dan Dia Di Syurga

Ramai manusia diserang masalah berkaitan hati, cinta yang diraih seringkali gagal.

Kadang-kadang kita juga sering salahkan takdir, sedangkan kita sebenarnya gagal menempatkan hati pada langkah pertama lagi.

Mengalami masalah hati dan jiwa setiap hari, tapi tidak jumpa solusi yang pasti, selalu membuat kesimpulan gunakan hati (nafsu), bukan berdasarkan al-Quran dan al-Hadith.

Semua insan di dunia inginkan kesenangan dan kebahagiaan.

Justeru, kekadang bila kita melalui hari dengan mudah pada satu-satu hari, rasa bersyukur teramat sangat.

Manakan tidak, setiap hari sebelum memulakan hari baru, kita (niat) sentiasa berdoa demi kebaikan sepanjang hari pada hari tersebut, bermula pada langkah pertama.

Kekadang kita terlalu takut jika Allah Taala tidak menyayangi kita, bila mana kita tidak ditimpakan ujian walau sebutir zarah pada hari-hari yang kita hadapi.

Ujian ini, bukan untuk menakutkan diri, tapi mencari hikmah yang tersembunyi.

Berterima kasihlah kepada Allah Taala kerana masih ditarbiah hati ini.

Cinta melulu hanyalah cinta buat orang yang lemah imannya. Itulah yang berlaku dalam kehidupan kita selama ini.

Terlalu sayang, sayang hingga bisu untuk menegur kesalahan. Sudah ketara, tapi buat-buat lupa, sudah tahu dan nyata, tetapi pura-pura buat buta.

Hinggakan diri sendiri pun terikut-ikut dan sama-sama jadi buta, gelap gelita.

Ya, bila ujian Allah Taala datang mendidik diri, baru sedar, baru terngadah.

Tapi syukur Allah Taala datangkan jua rasa redha di hati ini.

Mujurlah jua Allah Taala tunjukkan jalan mengajar hati redha, terima hakikat.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)" asy-Syam (91:9-10)

Pasti kalian pernah merasai saat genting ini. Ada yang selepas berumahtangga, pengamalan agama dianggap enteng.

Jika dahulu impian ingin membina bait-muslim itu cukup tinggi tetapi apabila ada kelemahan, kekurangan dan kesilapan yang dilakukan, pasangan hanya mengambil langkah berdiam diri hanya kerana cinta, inilah cinta buta tidak nampak akan kesalahan, matlamat pula menghalalkan cara.

Bila cinta Tuhan diketepikan dan kasih sayang makhluk mendasari hati, nafsu menjadi raja dalam diri, kalam Tuhan tidak lagi diikuti. Sesungguhnya manusia apabila mencintai makhlukNya dan mendahului mereka dari Allah, maka tunggulah janjiNya.

Kadang-kadang untuk menyeru kepada kebaikan agak sukar kerana sesetengah orang akan lebih nampak kepada keburukan.

Namun begitu, kita boleh terus berusaha dan istiqamah dalam membuat kebaikan.

Kebaikan tidak semestinya melalui lisan, tetapi boleh juga melalui perbuatan. Kadang-kadang apa yang kita buat lebih memberi kesan berbanding dengan apa yang kita cakapkan. Dunia ini adalah madrasah cinta kita cari.

Allah Taala sedang mengajar dan mendidik kita. Suatu ketika dulu saya juga pernah mengalami perkara yang sama.

Namun diteruskan juga menadah, meminta pertolongan Allah.

Allah Taala akan terus mengajar dan mendidik kita dengan syarat kita mahu belajar sama ada dari pengalaman yang kita lalui, muhasabah diri seterusnya belajar ilmu-ilmu Islami.

Manusia bijak akan menjadi orang lain bergantung kepadanya, bukan sebaliknya. Dia tidak pernah bersikap dan mengambil keputusan dengan mengharapkan orang lain turut sama berendam dalam masalah peribadinya.

Bahawasanya seorang muslim itu mempunyai falsafah hidup, prinsip, risalah, dan ketentuan yang lebih agung daripada hanya sekadar mengharap, balas dendam, dan benci.

Perjalanan hidup berumahtangga sebahagian surat cinta Ilahi. Bahawa dugaan, kepahitan, perpisahan adalah antara isi kandungan surat cinta ini.

Ada yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Mendepani surat cinta ini, inshaAllah akan menyuburkan cinta, sekiranya kita menerimanya sebagai satu tarbiah daripada Allah.

Percayalah, kita pasti akan bertemu dalam suasana yang lebih indah dan manis selepas kebahagian.

Kesulitan ini adalah mahar buat saat yang indah itu.

Berbahagialah isteri-isteri yang menjadi solehah hasil bimbingan dan pimpinan para suami soleh.

Beruntunglah isteri-isteri meredhai kehidupan rumahtangga yang dibina.

Kesusahan dan kesulitan sudah menjadi pakaian harian, nilai kasih sayang antara penghuni rumahtangga didahulukan.

Mempunyai peranan.

Peranan takwa dan iman itulah, yang menjadi pasak melahirkan serta mengekalkan konsisten keharmonian cinta yang dirasai dengan cara dan sudut yang pelbagai nantinya.

Banyak versi dan variasi.

Kursus perkahwinan pastinya belum memadai membenihkan nilai-nilai yang perlu kepada bakal pasangan, jika sahaja kayu ukur sebaik para pejuang agama sebahagiannya juga ditakdirkan untuk kecundang.

Ingatlah, ramai pasangan berpisah kerana putus cinta.

Cinta yang matang itu, tidak buta dengan kesalahan dan kekurangan orang lain.

Celik, tetapi hati yang cinta akan berdoa dan berusaha untuk memperbaikinya. Kita terima seadanya.

Dia hamba, kita juga hamba.

Hamba itu lemah dan sentiasa bersalah. Pohonlah kemaafan dan bersedia memaafkan.

Sumber : iluvislam.com

Siti Izzati.

Anak-Anak dan Pengaruh Kawan

"Wow, banyak giler..." kata Muslih ketika melihat kakaknya melukis sesuatu. Perkataan 'giler' tu tak pernah saya guna untuk ekspresi begitu. Kini Muslih banyak gunakannya, berserta istilah-istilah slanga lain yang kami tak gunakan di rumah. Saya yakin, Muslih 'belajar' dari kawan-kawannya. Memang penggunaan perkataan tu tak mendatangkan apa-apa kesalahan. Cuma saya terfikir, betapa pengaruh kawan agak kuat untuk anak sekecil Muslih. Ini membuatkan kami perlu lebih beringat dan berhati-hati agar pengaruh yang tak elok tidak menjalar dalam rumah kami.

Antara faktor kegagalan dalam pendidikan anak-anak ialah kelekaan ibu bapa dalam memantau anak-anak berkawan dan memilih kawan. Pengaruh kawan amat kuat dalam menentukan perwatakan anak-anak. Kawan ibarat cermin. Perangai kawan menjadi perangai sendiri. Kesukaan kawan menjadi kesukaan sendiri. Jika baik kawannya, maka baiklah seorang itu. Jika kawannya jahat, maka dia pun akan mudah menjadi jahat.

Hakikat ini bukan rekaan, tetapi adalah suatu yang terbit dari lidah Rasulullah SAW sendiri yang bersabda: "Manusia itu sentiasa menurut kelakuan temannya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa yang dia berkawan dengannya." (riwayat Tarmizi)

Dalam Hadis lain, Baginda Rasulullah SAW membuat perumpamaan yang cukup menarik. Sabda Baginda:
"Perumpamaan kawan yang baik dan kawan yang jahat ialah ibarat pembawa wangi-wangian dan tukang besi. Maka, bagi pembawa wangi-wangian, dia mungkin akan memberikan sedikit wangi-wangian kepada mu, atau, mungkin kamu membeli daripadanya, atau sekurang-kurangnya kamu dapat mencium bau yang harum dari wangi-wangiannya. Mana kala bagi tukang besi pula, dia mungkin akan membakar bajumu atau kamu mungkin akan mencium daripadanya bau-bauan yang busuk" (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Satu lagi sabda Baginda SAW yang tepat dan padat: "Awaslah kamu berkawan dengan teman yang jahat, nanti kamu jadi jahat" (riwayat Ibnu Asakir)

Tegasnya, kawan itu sangat berpengaruh. Setiap orang perlu prihatin dengan kesan pengaruh kawan. Sebenarnya, Islam tidak pernah melarang kita berkawan, bahkan Islam adalah agama yang menggalakkan kita berkawan. Menjadi kera sumbang bukan anjuran Islam. Fitrah manusia pula memang perlukan teman dan kawan. Kawan bukan sahaja dapat melegakan jiwa dan perasaan, bahkan menjadikan kita matang dan lebih bertanggungjawab. Namun dalam kita berkawan kita perlu hati-hati dalam memilih kawan.

Kawan yang baik ialah kawan yang dapat sama-sama membimbing kita ke arah adab-adab yang mulia dan mendekati agama. Kawan sebenar ialah kawan yang menegur bila kita terpesong dan sedia ditegur bila dia melakukan silap. Tegasnya kawan yang baik ialah kawan yang membawa kita ke syurga.

Kawan ke neraka

Kawan yang jahat pula adalah kawan yang mengheret ke neraka. Berdasarkan beberapa kajian, antara faktor terbesar penagihan dadah di kalangan belia di Malaysia adalah kerana dorongan kawan. Begitu lah juga dengan gejala mat rempit dan mat gian. Semuanya gara-gara kawan.

Kawan yang jahat ini mengheret kawannya ke neraka tanpa disedari. Kadang-kadang mereka saling heret-mengheret. Masing-masing menjadi pendorong ke arah kejahatan antara satu sama lain. Jika nampak kawannya takut untuk melakukan benda-benda jahat dan lagha itu, dia akan memainkan peranan dengan mencabar dan mengherdik. Orang muda pantang dicabar. Maka lubang maksiat dan jenayah yang memusnahkan itu pun diterjuninya.

Kawan yang jahat ini tidak bermula dengan dadah, rogol dan rompak. Ia tidak bermula dengan zaman remaja. Ia bermula sejak tadika dan sekolah rendah. Di situ sudah ada kawan-kawan yang 'jahat'. Jahat dalam erti mengajak kepada perkara-perkara yang lagha, maksiat kecil-kecilan, kedegilan, dan sikap memberontak.

Kanak-kanak adalah insan yang suci. Namun dalam diri dan kalbu mereka kadang-kadang terpalit sikap dan sifat negatif hasil salah didikan dan pencemaran budaya. Kanak-kanak yang membawa akhlak buruk begini boleh mempengaruhi kanak-kanak lain untuk melakukan perbuatan negatif.

Maka ibu bapa perlu hati-hati melihat kawan anak-anaknya sejak dari kecil lagi. Sejak dari PASTI, ibu bapa perlu memandu anaknya cara memilih kawan. Apa lagi bila remaja. Dorongan dan panduan berterusan perlu diberikan kepada anak-anak. Ingatan demi ingatan perlu diberi agar anak memilih kawan-kawan yang solih dan muslih.

Sumber : iluvislam.com

Nurun Ani.

Lambaian Pintu Raudhah

Seorang jejaka muda, tampan, sasa dan bergaya. Kehadirannya di lapangan terbang yang paling berprestij di Malaysia menarik perhatian seluruh mata yang memandang. Setiap derap langkah kakinya menjadi perhatian setiap telinga yang mendengar.

"Sungguh hebat jejaka itu. Beruntung sekali wanita yang dapat berjalan bersama di sisinya. Andai saja dia menjadi milikku....," Itulah kata-kata yang kini membisik di hati setiap wanita yang terpandang akan susuk yang gagah lagi bergaya itu.

Namun di sebalik segala kemewahan yang ditonjolkan oleh jejaka tersebut, tersimpan sejuta rahsia yang tidak mungkin terungkai oleh siapapun. Begitu hebat sekali "topeng" yang dia kenakan."Topeng" yang telah membutakan seluruh mata yang memandang.

Azam yang dahulunya hanya seorang pemuda kampung. Pemuda kampung yang bekerja keras membanting tulang di bawah terik mentari. Pemuda kampung yang sering memecahkan keheningan subuh dengan laungan azan yang sungguh merdu. Laungan azan yang mengusik setiap jiwa yang merindukan kasih Allah. Laungan azan yang menyedarkan setiap manusia akan kewajipannya terhadap Yang Maha Esa.

Betapa dirinya dahulu menjadi sanjungan kepada pemuda-pemuda yang lain di atas segala kelebihan dan ilmu yang ada padanya. Tidak kurang juga para ustaz yang sering menjadikan Azam sebagai tempat rujukan. Azam adalah seorang pemuda soleh yang berilmu dan berwibawa.

Pemergian Azam memberikan kesan yang besar kepada Kampung Seri Pinang serta seluruh jiwa yang bernafas di dalamnya. Tidak ada lagi suara merdu yang memecahkan keheningan pagi dan tidak ada lagi bicara agama buat santapan rohani. Pemergian Azam menjadikan kampung yang dahulunya berseri kini sunyi sepi.

Kini, setelah hampir lima tahun menuntut di luar negara, Azam kembali sebagai seorang insan yang serba baru. Kepulangannya ke kampung halaman sudah lama ditunggu-tunggu. Betapa penduduk di kampung tersebut rindu akan kepulangan Azam. Rindu akan suaranya, rindu akan bicaranya, rindu akan wajahnya yang sentiasa tenang dan bercahaya.

Azam tersenyum puas. Sudah lima tahun dia menahan gelodak jiwa yang ingin sekali bertemu dengan keluarga tercinta. Kampungnya masih seperti dahulu. Tidak berubah walau sedikitpun. Cuma kini, ada sedikit kesunyian terasa. Mungkin kerana anak-anak muda yang lain sudah berpindah ke kota besar untuk mencari kerja dan meneruskan pelajaran. Azam merupakan salah seorang dari mereka.

Rumah besar yang beratap biru tersebut ditenungnya lama-lama. Warnanya sudah semakin pudar, sunyi dan langsung tidak ada seri lagi pada pandangannya.

"Mak, ayah! Azam dah sampai!" Nyaring sekali suara tersebut. Mak Kiah yang baru saja selesai menunaikan solat Zuhur cepat-cepat melipat sejadahnya.

"Azam! Azam anak mak!" Bercucuran air mata Mak Kiah apabila terlihat akan susuk yang cukup dikenalinya itu. Air mata rindu itu tidak berhenti-henti mengalir lewat matanya yang sudah agak cengkung dimamah usia. Susuk anak muda itu didakapnya erat. Tidak akan dia lepaskan lagi. Rindunya seorang ibu terhadap anaknya, Azam sehingga hampir sebulan dia terlantar sakit di hospital.

Azam segera melepaskan dirinya daripada dakapan ibunya. Dia kelemasan. sepertinya ada sedikit ketidakselesaan di wajah tampan itu. Namun, dia cuba untuk menyembunyikannya bimbang disedari oleh ibunya.

"Ayah mana, mak? Mak sihat? Dah lama Azam tak tengok mak. Semakin cantik pulak mak Azam ni," Azam cuba untuk bergurau. Mak Kiah tersenyum senang. Azam masih tidak berubah di matanya. Masih seperti Azam yang dahulu. Masih pandai bergurau dan mengambil hatinya. Betapa dia kasihkan Azam. Anak kecil yang ditinggalkan di depan rumahnya. Anak kecil yang diasuhnya dengan penuh cinta dan kasih sayang. Anak kecil yang dia sendiri tidak tahu siapa ibu serta bapa kandungnya.

Namun, semua itu tidak pernah Mak Kiah jadikan sebagai alasan untuk tidak memberikan Azam kasih sayang serta seluruh perhatiannya. Naluri keibuannya yang begitu kuat menjadikan dia mendidik azam dan membesarkannya sehingga Azam menjadi seorang manusia yang berjaya pada hari ini. Begitu dia kasihkan Azam meskipun keputusannya untuk menjadikan Azam sebagai anak angkat pada awalnya mendapat tentangan hebat daripada suami tercinta suatu ketika dahulu.

"Ayah mana, mak?" Sesekali pertanyaan itu diajukan kepada ibunya. Mak Kiah tersenyum lagi.

"Ayah di rumah Ustaz Kassim. Ada hal di sana. Sebentar lagi dia baliklah. Ayah pun dah tak sabar mahu berjumpa dengan Azam. Semalaman dia tak tidur sebab menunggu kepulangan kau. Dia dah berubah, nak. Dia tak macam dulu lagi. Dia dah boleh terima kau," Panjang sekali jawapan yang diberikan oleh Mak Kiah. Sesekali dia terbatuk kecil.

"Baguslah kalau macam tu," Pendek saja jawapan Azam. Sebenarnya dia agak kepenatan. Berjam-jam berada di dalam kapal terbang menjadikan tulang belakangnya sedikit kaku. Dia segera menuju ke biliknya. Mak Kiah hanya mampu tersenyum. Azam memang selalu begitu. Kadangkala dia periang. Ada pula waktu-waktunya dia boleh menjadi seperti tadi. Acuh tidak acuh saja.

Namun, Mak Kiah tidak pernah sedikitpun berkecil hati dengan sikap Azam yang sentiasa berubah-ubah dan kadangkala sukar difahami. Baginya Azam anak yang soleh dan taat. Apa jua kesalahan Azam sentiasa mendapat keampunannya. Mak Kiah tidak sanggup melihat Azam menderita hanya kerana dosa-dosanya terhadap seorang ibu sepertinya. Sungguh kasihnya dia pada Azam sehingga dia sanggup berkorban nyawa untuknya.

Malam itu, Ustaz Akhil bersiap sedia untuk ke masjid seperti biasa. Dia menjadi agak terkilan kerana ajakannya ke masjid tadi petang ditolak bulat-bulat oleh Azam. Namun begitu, dia tidak akan mudah menyerahkan emosinya kepada Syaitan yang sentiasa bersedia untuk menjalankan tugasnya. Dia cuba untuk menjadi seorang ayah yang memahami. "Mungkin Azam masih kepenatan," Begitulah fikirnya.

Perut yang sudah berkeroncong memaksa Azam keluar dari biliknya. Mak Kiah sudah lama duduk di dapur menunggu Azam.

"Makanlah, nak. Ayah kau baru je ke masjid tadi. Duduk sini, biar mak yang teman kau malam ni," Lembut sekali bicara Mak Kiah. Sepertimana dia sering menemani Azam makan di waktu-waktu kecilnya dahulu, seperti itu jugalah dia akan terus menemaninya sehingga ke hari ini.

Azam duduk di sisi ibunya. Perlahan-lahan dia mengunyah lauk yang masih bersisa di dalam mulutnya. Mak Kiah hanya mendiamkan diri. Dia masih berkira-kira sebenarnya, bagaimana harus dia mengkhabarkan berita itu nanti. Bagaimana pula penerimaan Azam nanti?

"Azam, mak ada sesuatu nak bagitahu kau ni," Perlahan-lahan Mak Kiah mengatur kata-katanya. Azam masih menumpukan perhatian terhadap santapannya malam itu. Dia merenung Mak Kiah sejenak.

"Pagi tadi ayah kau pergi jumpa Ustaz Kassim. Dia... Dia pergi pinangkan Laila buat kau. Kau..."

Belum pun sempat Mak Kiah menyambung bicaranya, Azam sudah tersedak di sisinya. Mak Kiah sedikit terkejut. Reaksi seperti itu memang sudah dia jangkakan.

"Mak! Kenapa tak bagitahu Azam dulu? Macam mana Mak ni? Janganlah buat Azam macam ni. Tak boleh! Azam tak setuju!"

Mak Kiah sedikit terkejut. Memang selama ini Azam pernah memberontak, tetapi tidak pernah sekalipun Azam meninggikan suara terhadap dirinya. Mak Kiah sedikit tersentak. Tersentak dengan perubahan Azam yang agak mendadak. Sebenarnya, sejak Azam sampai petang tadi lagi Mak Kiah sudah musykil. Musykil terhadap sikapnya yang aneh dan agak pemarah. Sikap Azam terhadap ayahnya tadi petang juga sudah agak kasar.

"Kenapa, nak? Kau tak suka ke? Laila tu baik orangnya. Sopan pulak tu. Tak macam kebanyakan budak perempuan di dalam kampung ni. Beruntung kau kalau dia jadi isteri kau, nak," Mak Kiah masih cuba untuk meyakinkan Azam untuk menerima keputusan yang telah dibuat oleh suaminya seminggu sebelum kepulangan Azam.

"Azam tak nak. Mungkin Azam tak pernah bagitahu Mak lagi sebelum ni. Mak, Azam dah kahwin. Azam kahwin di sana. Dengan seorang perempuan yang menuntut satu kolej dengan Azam. Dah dua tahun kami berkahwin."

Mak Kiah terkejut besar. Matanya yang tadinya kuyu kini besar dan bulat. Azam ditatapnya lama-lama. Di sebalik kesedihan yang sedang berkubu di hatinya kini, ada sedikit kegembiraan yang sedikit sebanyak menenggelamkan kesedihan itu. Kegembiraan untuk mengetahui bahawa ada menantu yang akan Azam bawa ke rumahnya nanti. Mak Kiah memaniskan mukanya. Dia tidak mahu kelihatan terkejut di depan Azam. Mak Kiah menguatkan dirinya untuk terus bersuara.

"Siapa menantu Mak ni? Macam mana orangnya, nak? Paling penting, sudahkah kau Islamkan dia sebelum kau mengahwininya?

Soalan terakhir itu sebenarnya tidak perlu untuk ditanyakan lagi kerana Mak Kiah pasti bahawa wanita tersebut sudahpun diIslamkan sebelum Azam mengahwininya lagi.

"Tak. Maksud Azam, dia bukan Islam," Selamba Azam menjawab pertanyaan ibunya.

Mak Kiah sedikit kehairanan. Bagaimana bisa Azam mengahwini seorang wanita bukan Islam? Dia menjadi bertambah musykil. Namun, Mak Kiah tidak sewenang-wenangnya menyerang Azam dengan seribu pertanyaan yang mungkin akan merunsingkan anak itu. Betapa besarnya kasih Mak Kiah terhadap Azam. Mak Kiah masih memberi ruang kepada Azam untuk sebarang penjelasan.

"Sebenarnya... Azam 'convert', Mak."

Sebaik sahaja Azam menghabiskan kata-katanya, satu tamparan hebat singgah di pipi kanannya. Azam terjelepok di atas lantai. Tanpa disedari, Ustaz Akhil sudah lama mencuri dengar akan perbualan kedua-duanya. Sudah setengah jam Ustaz Akhil berdiri di sisi pintu rumah sambil menahan kemarahannya. Begitu dia hampir hilang sabar saat Azam mengatakan bahawa dia sudah pun berkahwin di sana.

Ustaz Akhil langsung tidak menyangka bahawa anak yang selama ini taat dan patuh terhadapnya akan membelakangkan dirinya sebagai seorang ayah. Paling memedihkan hatinya adalah untuk menerima hakikat bahawa anak yang selama ini dia didik dengan segala ilmu agama dan ukhrawi yang ada pada dirinya kini sudah berani membelakangkan Allah. Penciptanya sendiri. Anak itu kini sudah selayaknya dia bunuh sahaja.

Ustaz Akhil sudah tidak boleh bersabar lagi, lengan Azam ditariknya keras. Diseretnya Azam ke luar pintu lalu ditolaknya ke luar rumah. Mak Kiah sudah tidak berdaya lagi. Sungguh dia ingin sekali membantu anak kesayangannya itu. Namun, untuk berdiri saja dia sudah tidak mampu. Hakikat itu terlalu berat untuk dia terima. Dari tadi, dia hanya mampu berdoa agar kesilapan terbesar Azam itu diampunkan, agar dibukakan hati Azam untuk kembali ke pangkal jalan.

"Kau keluar dari rumah aku ni! Mulai dari hari ni, jangan kau berani jejakkan kaki ke tanah ni lagi. Jangan kau berani lagi datang ke kampung ni! Kau pergi sekarang! Sekali lagi aku nampak kau datang ke kampung ni, akan aku pancung kepala kau dengan parang besar aku kat belakang rumah tu! Anak tak mengenang budi! Kalau tak kerana takdir Allah kau dibuang kat depan rumah aku ni, dah lama kau mati agaknya. Bila dah besar macam ni, kau murtad pulak! Ingat pesan aku ni! Selagi kau tak bertaubat, selagi kau tak kembali pada agama kau, selagi kau tak mintak keampunan Pencipta kau, jangan kau mengaku pernah jadi anak aku! Sekarang kau pergi! Kau pergi!!!"

Bergema kampung itu dengan suara Ustaz Akhil yang gegak gempita kuatnya. Hampir terangkat atap rumahnya yang sudah rapuh itu. Kini, satu kampung sudah tahu bahawa pemuda yang dahulunya sering menjadi penyeri kepada surau-surau serta masjid seluruh kampung sudah tidak lagi boleh diharapkan. Dia sudah MURTAD. Dosa besar yang sukar sekali mendapat keampunan Allah andainya dia tidak bertaubat tepat pada waktunya. Bertaubat dengan taubat nasuha. Taubat yang sebenar-benarnya.

Menyirap darah muda Azam apabila menerima tamparan daripada bapanya tadi. Kata-kata yang diucapkan oleh Ustaz Akhil sebentar tadi langsung tidak masuk di kepalanya. Dia terlalu marah. Marah kerana ayahnya sudah berani menamparnya. Selama ini, tidak ada satu insan pun yang berani menyentuhnya, apalagi untuk menamparnya. Dia dibesarkan dengan penuh cinta dan kasih sayang. Kasih sayang daripada seorang ibu mulia seperti Mak Kiah. Namun, ternyata kasih sayang itu langsung tidak dihargainya. Dia kini sudah menjadi anak yang biadab serta kurang ajar.

Betapa Azam kini sudah jauh berubah. Dia kini sudah berani berfikiran seperti itu. Tinggal jauh daripada pengawasan kedua-duanya orang tuanya menjadikan Azam seorang pemuda yang liar. Pemikirannya kini sudah dijajah oleh bahana yang datang dari dunia barat. Azam sudah lama mati. Kini yang tinggal hanyalah seorang jejaka yang sudah mati hatinya. Seorang jejaka yang sudah lupa siapa dirinya sehingga dia lupa akan Penciptanya.

Azam sudah tidak peduli lagi. Dia segera lari meninggalkan rumah usang tersebut. Langkahnya dilajukan kerana dirinya kini sudah menjadi tumpuan penduduk kampung. Dia malu. Bukan malu kerana dosanya kepada Allah, tetapi malu kerana maruahnya tercalar dek kerana ditampar oleh ayahnya sendiri. Betapa tingginya ego anak muda itu.

Mak Kiah yang sedari tadi kaku di sisi suaminya terus berlari ke luar rumah. Dilihatnya Azam semakin jauh meninggalkannya. Dia cuba berlari sepantas mungkin. Setelah lima tahun Azam pergi, tidak mungkin dia boleh kehilangan Azam sekali lagi.

"Azam! Azam anak mak! Jangan pergi, nak. Jangan tinggalkan Mak. Mak sayangkan kau. Kau tetap anak mak!" Laungan tersebut kedengaran sayup-sayup dari kejauhan. Azam yang sedang dikuasai kemarahan langsung tidak mempedulikan ibunya lagi. Ibu yang dahulu bersusah payah membesarkannya. Ibu yang dahulu seringkali mempertahankannya sewaktu dia pernah dihina kerana statusnya sebagai anak kutip. Ibu yang kini sudah tidak wujud lagi di hatinya.

Azam segera masuk ke dalam teksi yang berhenti betul-betul di hadapannya. Mak Kiah cuba menahan anaknya. Ditariknya tangan Azam dengan kuat sekali. Namun, dengan penuh rasa marah, Azam menendang ibunya. Tendangan yang sungguh kuat. Cukup kuat sehingga jasad tua itu tergolek ke tengah jalan lalu...

Zappppppp!!!! Jasad tua itu terpelanting beberapa meter jauhnya. Azam tergamam. Perlahan-lahan dia keluar dari teksi. Perlahan-lahan dia menuju ke arah jasad yang sudah berlumuran darah itu. Jasad itu masih bernyawa lagi. Masih bergetar-getar.

Azam mula tersedar. Tersedar dari amuknya sebentar tadi. Dia sudah dapat melihat wajah ibunya kini. Ibu yang sebentar tadi dia anggap sudah mati akibat terlalu marah dan terlalu ikutkan hati yang sudah dikuasai Syaitan. Jasad lemah itu dirangkulnya perlahan-lahan.

"Mak! bangun, mak! Jangan tinggalkan Azam! Azam dah tiada sesiapa lagi selain mak. Ampunkan Azam, mak. Ampunkan Azam...," Azam merintih tidak berhenti-henti. Digoncang-goncangnya jasad lemah itu. Mak Kiah masih cuba untuk mengumpul tenaganya yang masih bersisa. Ingin sekali dia meninggalkan sedikit pesanan buat anak itu. Pesanan buat yang terakhir kalinya. Dengan segala kudrat yang masih ada, Mak Kiah cuba bersuara.

"Azam... Tolonglah dengar dan ingat pesan mak yang terakhir ni, nak. Bertaubatlah Azam. Kembali pada Allah. Kembali pada agamamu. Mak tak mahu kau tersiksa kelak. Tolonglah bertaubat. Sebelum mak pergi... Janji dengan mak, nak... Jangan kau risau. Dosa kau, dari kecik sampailah sekarang, mak ampunkan semuanya... Syurga mak masih buat kau, wahai anakku... Sekarang ni, kau minta ampun pada Allah... Minta ampun pada Dia..."

"Mak... Masihkah ada Syurga untuk Azam? Masihkah ada ruang di sisi Allah untuk orang yang berdosa besar seperti Azam?" Azam terus merintih sedih. Sungguh dia kini menyesal di atas segala perbuatannya. Allah telah menunjukkan balasan kepada dosanya dengan mengambil nyawa insan yang paling dia sayang. Andai saja waktu bisa diundurkan semula. Pasti dia tidak akan membiarkan dirinya jatuh di dalam jurang itu. Jurang yang dipenuhi Syaitan laknatullah.

"Kau bertaubatlah, nak... Jangan kau ulang lagi perbuatan kau ni... Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Sebesar apapun dosa kau, andai kau benar-benar bertaubat, percayalah nak... Masih ada Syurga buat kau..."

Azam mendengar syahadah terakhir yang diucapkan oleh ibunya. Dia sudah tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan. Jasad ibunya masih lagi erat di dalam pelukannya. Pandangannya berpinar. Tatkala itu juga, dia rebah di sisi jasad yang sudah tidak bernyawa itu...

Sumber : iluvislam.com

Nurul Amni.

Kalau Nak Bidadari, Tunggu Di Syurga Nanti...

Ummi : Mat... kau dah besar Mat. Ummi rasa dah sampai masanya untuk kau berumahtangga dan memiliki keluarga sendiri.
Ahmad : Betul ke Ummi? Mat ok je kalau Ummi boleh carikan calon yang sesuai.... (senyum malu)

Ummi : Haah ni gambar dan biodata A, Ummi yakin dia sangat baik orangnya.
Ahmad : Nampak ok orangnya Ummi, tapi..... dia ni gempal sikitlah Ummi.

Ummi : Dah 3 bulan Ummi cari calon yang ni, B macam yang Mat sebut tu.
Ahmad : Masya Allah Ummi.... tapi B ni rendah lah Ummi....

Ummi : Nah ! Cuba tengok gambar C ni, tentunya memenuhi citarasa kau Mat.
Ahmad : Subhanallah..... cantik dan manis betul dia ni tapi dia gelap sikitlah Ummi..

Ummi : Kau minat tak D anak Pak Cik Min tu, cantik, putih dan badan pun slim.
Ahmad : Mat nak yang macam tu lah Ummi tapi.... yang lemah lembut sikit wataknya.

Ummi : Tengok gambar E ni pulak, dah 4 bulan kawan Ummi tolong carikan untuk anak Ummi sayang ni.
Ahmad : Mat suka macam dia lah ni Ummi tapi Mat nak yang kelulusan professional lah.

Ummi : Cuba kau tengok gambar F ni, baru lulus jurutera dari Australia.
Ahmad : Allah Allah hebat dia ni... tapi kalau dia ada ciri berkepimpinan, Mat memang setuju.

Ummi : Ni pulak G, doktor muda balik Mesir dan ada ciri-ciri ketua, lama dah Ummi cari.
Ahmad : Masya Allah hebat, tapi dia tak hafal 30 juzuk Qur'an lah Ummi.

Ummi : Maafkan Ummi Mat, Ummi tak ada masa yang banyak untuk cari calon yang sempurna macam yang kau nak.
Ahmad : Kalau macam tu boleh Ummi minta tolong abah carikan pulak...

Ummi : Abang, cubalah carikan calon untuk Mat, anak kita yang memilih sungguh tu.
Abah : Calon yang macam mana dia nak?

Ummi : Dia nak seorang yang putih melepak, cantik, tidak rendah, tidak tinggi, tidak gempal, watak yang lemah lembut, lulusan bidang professional, berkarismatik dan ciri terakhir, hafal 30 juzuk Al-Qur'an.

Abah : Ok lah. Sayang pun tau, abang ni kurang sabar kan? Ayang pesan je pada Mat tu... minta dia tengok cermin puas-puas. Kalau dia betul-betul nak kahwin dengan bidadari, dia kena masuk syurga dulu.... Peace! ^_^

Sumber : iluvislam.com

Nur Farah Aisyah.

Saatnya Untuk Menikah

"Apabila datang kepadamu seorang laki-laki datang untuk meminang yang engkau redha terhadap agama dan akhlaqnya maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerusakan yang merata di muka bumi." - HR Tarmidzi dan Ahmad

Saya tidak tahu apakah ini merupakan Hukum Sejarah yang digariskan allah

Ketika orang mempersulit apa yang dimudahkan Allah, mereka akhirnya benar-benar mendapati keadaan yang sulit dan nyaris tak menemukan jalan keluarnya.

Mereka menunda-nunda pernikahan tanpa ada alasan Syar'ie dan akhirnya mereka benar-benar takut melangkah di saat hati sudah sangat menginginkannya.

Atau ada yang sudah benar-benar gelisah tak kunjung ada yang mahu serius.

Lingkaran Ketakutan Berlanjutan

Bila di usia dua puluh tahunan mereka menunda pernikahan karena takut dengan ekonominya yang belum mapan, di usia menjelang tiga puluh hingga tiga puluh lima berubah lagi masalahnya.

Laki-laki mengalami Sindrom Kemapanan (meski wanita juga banyak yang demikian, terutama mendekati usia 30).

Mereka (laki-laki) menginginkan pendamping dengan kriteria yang sulit dipenuhi.

Seperti Hukum Kategori, semakin banyak kriteria semakin sedikit yang masuk kategori.

Begitu pula Kriteria Tentang Jodoh, ketika menetapkan kriteria yang terlalu banyak maka akhirnya tidak ada yang sesuai dengan keinginan kita.

Sementara wanita yang sudah berusia sekitar 35 tahun, masalahnya bukan kriteria tetapi soal apakah ada orang yang mau menikah dengannya?

Ketika usia sudah 40-an, ketakutan kaum laki-laki sudah berbeza lagi, kecuali bagi mereka yang tetap terjaga hatinya.

Jika sebelumnya banyak kriteria yang dipasang pada usia 40-an muncul ketakutan apakah dapat mendampingi isteri dengan baik.

Lebih-lebih lagi ketika usia beranjak 50 tahun, ada ketakutan lain yang mencekam.

Iaitu kekhawatiran ketidakmampuan mencari nafkah sementara anak masih kecil.

Atau ketika masalah nafkah tak merisaukan khawatir kematian lebih dahulu menjemput sementara anak-anak masih banyak perlu dinasihati.

Bila Iman Tiada Makan Muncul Putus Asa

Jangan ditunda-tunda apa yang menghimpit saudara kita sehingga mereka sanggup menitiskan air mata.

Awalnya adalah kerana mereka menunda apa yang harus disegerakan, mempersulit apa yang seharusnya dimudahkan. Padahal Rasulullah s.a.w. berpesan:

Wahai Ali, ada Tiga perkara jangan ditunda-tunda; apabila Solat telah tiba waktunya, Jenazah apabila telah siap penguburannya, dan Perempuan apabila telah datang laki-laki yang sepadan meminangnya." - HR Ahmad

Hadis ini menujukkan agar tidak boleh mempersulit pernikahan baik langsung mahupun tak langsung.

Secara 'lansung' adalah menuntut mahar yang terlalu tinggi. Atau yang sejenis dengan itu. Ada lagi yang 'tidak secara langsung'.

Mereka membuat kebiasaan yang mempersulit, meski nyata-nyata menuntut mahar yang tinggi atau resepsi yang mewah.

Sebahagian orang mengadakan acara peminangan sebagai acara tersendiri yang tidak boleh kalah mewah dari resepsi pernikahan sebahagian lainnya melazimkan acara penyerahan hadiah atau wang belanja untuk biaya pernikahan secara tersendiri.

Bila seseorang tak kuat menahan beban, maka bisa saja melakukan penundaan pernikahan semata-mata hanya kerana masalah ini.

Saya sangat khawatir akan keruhnya niat dan bergesernya tujuan, sehingga pernikahan itu kehilangan barokahnya.

Naudzubillah! Penyebab lain adalah lemahnya keyakinan kita bahwa Allah pasti akan memberi rezeki atau boleh jadi cerminan dari sifat tidak qona'ah (mencukupkan diri dengan yang ada).

Pilihlah Yang Bertaqwa

Suatu saat ada yang datang menemui Al Hasan (cucu Rasulullah). Ia ingin bertanya sebaiknya dengan siapa putrinya menikah? Maka Al Hasan r.a berkata:

"Kawinkanlah dia dengan orang yang bertakwa kepada Allah. Ini kerana, jika laki-laki mencintainya, ia memuliakannya, dan jika ia tidak menyenanginya, ia tidak akan berbuat zalim kepadanya."

Nasihat Al- Hasan menuntun kita untuk menjernihkan fikiran. Jika kita menikah dengan orang yang bertakwa, cinta yang semula tiada meski cuma benihnya, dapat bersemi indah karena komitmen yang memenuhi jiwa.

Sumber : iluvislam.com

Wan Hifni Aiman.