Monday 4 July 2011

Kuasa Taqwa

Subhanallah, besar sungguh kuasa taqwa. Sebesar makna sebuah taqwa. Apa itu taqwa?

Dari Abu Dzar bin Junadah dan Abu Abdurrahman Muadz bin Jabal radhiyallahu'anhuma, dari Rasulullah S.A.W Baginda bersabda, "Bertakwalah kepada Allah di mana pun engkau berada. Iringilah kejelakan dengan kebaikan, nescaya kebaikan tersebut akan menghapuskannya. Dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik." (HR. Tirmidzi, dan dia berkata: Hadis Hasan Shahih. Hasan dikeluarkan oleh at-Tirmidzi di dalam [al-Bir Wash Shilah/1987] dan dishahihkan oleh al-Albani di dalam al-Misykat [5083])

Taqwa di mana? Bila? Bagaimana?

"Bertaqwalah kepada Allah.." sudah jelas ia adalah satu ayat perintah. Samalah seperti ayat yang menyuruh kita untuk tidak melanggar undang-undang dan lain-lain. Bukan satu arahan yang main-main seperti :

"Kalau senang, bertaqwalah ye..."

"Nanti kalau kamu ada masa, kamu bertaqwalah.."

Tidak!

Taqwa ini adalah satu suruhan oleh Allah dan Rasul. Ia adalah satu urusan yang perlu dibina setiap waktu. Perkara yang perlu kita perhalusi. Perlu dicantikkan. Perlu dikuatkan.

Maka, mahu atau tidak, taqwa ini perlu kita bina.

Tetapi sebelum kita pergi lebih jauh dan semakin saya membuatkan anda lebih tidak faham apa yang saya cuba katakan, sebaiknya kita kupas dahulu apakah maksud taqwa?

Taqwa berasal dari perkataan waqa–yaqi–wiqoyah yang ertinya memelihara. Di sekolah kita diajar taqwa ini adalah takut kepada Allah. Takut cumalah sifat yang ada dalam taqwa. Dengan membawa erti pelihara, taqwa ini akan memberi makna yang lebih besar.

Contohnya, seorang lelaki takut untuk bermesra dengan seorang wanita bukan muhrimnya. Ketakutannya datang ketika itu sahaja. Tetapi, sekiranya seorang lelaki itu memelihara dirinya dari bermesra dengan wanita bukan muhrimnya, dia sentiasa cuba untuk menjaga dirinya setiap masa. Dan ketika dia diuji, perasaan takut tadi lahir daripada usahanya memelihara dirinya.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan". [at-Tahriim: 6]

Maka , jika taqwa adalah memelihara, boleh kita mudahkan yang taqwa ini seumpama "mine detector" (kesan bom bawah tanah).

Taqwa ini memberikan kita amaran bahaya.

"Teet..Teet... Ha!! Fulan bin Fulan. Jangan jalan dekat depan. Belok kanan. Di depan ada syaitan dan nafsu..."

Tetapi dengan degilnya diri ini cuba juga untuk melawan kata-kata dari taqwa itu tadi.

Maka apabila berdepan dengan bahaya, taqwa ini bertukar menjadi baju perisai. Sebagaimana sepatutnya ia menjadi pemelihara.

Dan firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)".[al-A'raaf: 26]

Maka sepatunya telah jelaslah taqwa itu adalah pemelihara dan pengawal. Semasa kita menjadikan taqwa itu sebagai kubu atau benteng kita, kita telah meletakkan Allah di hadapan kita. Kita meletakkan Allah sebagai benteng kita. Kita meletakkan rasa kehambaan sebagai panduan. Kita meletakkan keinginan Allah di hadapan berbanding keinginan diri kita.

Di tempat di mana pun engkau berada engkau pasti bertaqwa. Engkau tidak hanya bertakwa kepada Allah di tempat yang di sana orang-orang melihatmu saja. Dan tidak hanya bertakwa kepada-Nya di tempat-tempat yang engkau tidak dilihat oleh seorang pun, kerana Allah sentiasa melihatmu, di tempat mana pun engkau berada. Oleh karena itu, bertakwalah di mana pun engkau berada.

Bagaimana?

Kita disuruh bertaqwa tetapi kita tidak tahu apakah sebenarnya alat untuk bertaqwa. Mari kita lihat antara ciri-ciri taqwa.

Ketika seorang sahabat bertanya Umar, bagaimana itu taqwa, Umar mengatakan ia seperti berjalan di atas jalan berduri. Kita akan menarik ke atas sedikit kain jubah kita dan berjalan dengan hati-hati.

Lihat, kita tidak mahu duri dosa-dosa itu mengoyak jubah kehidupan kita dalam kita mengharungi jalan untuk bertemu Kekasih Teragung, Allah S.W.T.

Adakah seorang kekasih mahu berjumpa kekasihnya dengan pakaian yang koyak rabak. Malah, dia akan berhati-hati terhadap semua perbuatannya.

Sesungguhnya, taqwa itu adalah satu cahaya nurani yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. Dengannya kita akan menjadi peka. Sebagaimana pekanya seekor kucing apabila terbau friskies. Atau sebagaimana tiba-tiba kita merasa tidak sedap hati terhadap sesuatu. Itu adalah satu rasa yang Allah kurniakan. Tetapi taqwa ini adalah rasa yang lebih khusus. Di mana ia dapat menghidu bahaya dosa dan tidak mahu terjebak dengannya. Hatinya meronta untuk jauh daripadanya. Itulah taqwa. Dan ia tidak selesa berada dalam dosa. Itulah taqwa.

Maka Allah mencipta alat-alat yang hebat untuk membina rasa hati yang bernama taqwa itu.

Sekarang, anda semua sudah tahu apa itu semua.

Itulah ibadah yang Allah ciptakan.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas umat-umat sebelum kamu agar kamu bertaqwa" [al-Baqarah: 183]

Bukankah itu bukti yang ibadah-ibadah ini membentuk taqwa?

Iman dibina dengan satu kepercayaan yang tidak berbelah bahagi tetapi bukan satu percaya kosong. Ia disertakan dengan bukti bersama hujah. Kerana itu, Islam adalah "agama" yang punya bukti. Bukan cuma dogma mainan ilusi atau percaya buta.

Bahkan dalam Islam istilah taqlid buta tidak ada. Bahkan mahu beribadah sahaja, kita perlu tahu buktinya dan kita faham kekuatan asal-usulnya mengikut sunnah dan syariah atau tidak.

Cuba lihat dengan begini :

Insan—> Muslim—> Mu'min—> Muttaqin

Seorang insan itu apabila dia menjadi Muslim, dia sudah meletakkan Allah sebagai rabb dan Rasul sebagai panduannya. Tetapi Imannya perlu dibina, sebagaimana seorang askar prebet dinaikkan pangkat menjadi Leftenan.

Kemampuan Leftenan berbeza dari prebet. Maka dia juga perlu diasuh untuk jadi Leftenan. Latihannya berbeza. Sebagaimana latihan komando, berbeza dari latihan askar biasa.

Tetapi prinsip latihannya sama.

Seorang Muslim tetap solat. Tetapi seorang Mu'min solatnya berlainan. Solatnya yang wajib dikerjakan. Bezanya, dia kuatkan solat itu dengan kekuatan khusyuk.

Dia memahami bahawa solat itu adalah tanda dia adalah hamba dan dia menjadi hamba setiap waktu dan dia mengakui dirinya sebagai hamba setiap hari lima waktu. Adakah dia akan mahu melawan "Towkey" yang memilikinya pada waktu yang lain?

Itulah ketika ia menjadi taqwa. Ia menjadi muttaqin. Ketika itu jugalah amal ibadahnya cuba ditingkatkan. Dia cuba menguatkan lagi dengan solat-solat sunat, qiam, solat rawatib dan lain-lain. Puasanya jelas pada zahir dan batinnya. Zakatnya bukanlah sekadar untuk lepas syarat. Dia memahami tentang apa yang dia cuba lakukan dengan sebenar-benarnya.

Ketika itulah setiap perbuatannya cuba dilakukan dengan berhati-hati supaya dia sentiasa berjalan dalam langkah hamba yang mensucikan dan memelihara diri.

Itulah taqwa... itulah kuasa taqwa.

Ittaqullah...

Sumber : iluvislam.com

Nurun Amni.

No comments:

Post a Comment