Sunday 4 September 2011

Konsep Kasih Sayang dalam Islam Sepanjang Masa

adakah kita tahu apakah konsep kasih sayang dalam islam? andai tidak, mari kita lihat di bawah apa yang tertulis barulah kita tahu apakah konsepnya itu. 

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
ISLAM sebagai ajaran lengkap dan menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan manusia sejagat memiliki panduan ditetapkan Allah bagi menjamin kesejahteraan hidup umatnya di dunia dan akhirat.
Oleh itu, tidak ada sebab mengapa umat Islam perlu meniru atau mengambil budaya asing sebagai contoh ikutan dalam kehidupan kerana Islam sudah lengkap.
Malangnya, akhir-akhir ini generasi muda begitu mudah terpengaruh dan menerima unsur budaya asing yang datang dari Barat dan Timur, yang hakikatnya tidak diperlukan kerana jelas bertentangan dengan Islam.
Rasulullah SAW pernah memberi amaran keras kepada umatnya berkenaan gejala mengikut, meniru atau melakukan budaya asing melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan perbuatan menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia turut termasuk bersama golongan itu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Jelas daripada maksud hadis Rasulullah SAW bahawa umat Islam dilarang meniru budaya asing yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke lembah kemaksiatan.
Oleh itu, mengapa perlu kita mengamalkannya, sedangkan Islam menggalakkan umatnya kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari tertentu atau berkala seperti Hari Valentine, hari ibu, hari bapa dan sebagainya.
Kasih pada ibu bapa, cinta pada isteri dan sayang pada anak pada hakikatnya terus berlangsung sepanjang hayat dikandung badan. Begitu juga kasih sayang sesama umat Islam sewajibnya utuh dan erat sepanjang masa dan diperkukuhkan tali persaudaraan.
Bahkan jika kita tidak bertegur sapa dengan saudara sesama Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya sudah pun jatuh haram.
Ternyata amalan atau budaya Islam jauh lebih baik daripada budaya asing yang semakin banyak menghiasi pentas kehidupan umat Islam.
Islam menggalakkan umatnya kasih- mengasihi sesama mereka dengan mengamalkan budaya menyebarkan salam, saling bertukar hadiah, ziarah-menziarahi, berkongsi suka-duka, tumpang bersyukur kesenangan dan bersimpati apabila ditimpa malapetaka.
Rasulullah SAW kerap menziarahi orang sakit dan tidak ketinggalan mengunjungi orang meninggal dunia biarpun berlainan kaum atau agama. Malah, perbezaan agama, kaum atau keturunan tidak menyebabkan permusuhan dan pertelagahan kaum.
Sebaliknya, mereka saling bantu membantu, bekerjasama dan berganding bahu untuk membangunkan Madinah ketika itu. Perbezaan akidah atau agama bukan penghalang ke arah mewujudkan hubungan kemanusiaan yang harmoni dan akrab.
Dalam erti kata lain, berkasih sayang menurut perspektif Islam amat luas dan tidak terhad kepada golongan tertentu.
Dalam konteks perayaan pula, perlu disedari bahawa perayaan adalah sebahagian daripada ketentuan sesebuah agama yang ditetapkan Allah seperti firman-Nya bermaksud: “Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).” (Surah al-Ma’idah, ayat 48)
Jelas daripada maksud ayat, umat Islam mempunyai perayaan tersendiri yang ditentukan Allah iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
Oleh yang demikian, demi memelihara akidah dan amalan umat Islam daripada perkara tidak diredai Allah, maka mereka dilarang meraikan dan menyambut perayaan agama kaum lain supaya tidak terperangkap dalam unsur syubhah yang terkandung dalam upacara perayaan mereka.
Walaupun Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin bergaul bersama orang Musyrikin, Nasrani, Yahudi dan kaum lain, mereka tidak pernah meraikan, apatah lagi menyambut sebarang hari perayaan bukan Islam.
Tidak cukup dengan dua hari raya besar itu, umat Islam dianjurkan menyambut dan meraikan hari kebesaran Islam seperti peristiwa Hijrah, Maulidur Rasul, Hari Asyura, Nuzul al-Quran, peristiwa Badar, Israk dan Mikraj dan himpunan peristiwa bersejarah yang tercatat dalam lipatan sejarah Islam.
Umat Islam sekarang sewajarnya menyambut dan meraikan hari kebesaran Islam untuk diambil segala pengajaran dan iktibar dalam usaha mereka memartabatkan kembali maruah dan kedudukan sebagai generasi terbaik dan umat teladan yang memantulkan nilai kebaikan kepada umat sejagat.
Islam sudah menyediakan cara hidup cukup lengkap dan sewajarnya mereka berpegang teguh pada ajaran Islam bagi mencapai kejayaan.
copy from: http://nurjeehan.wordpress.com/2007/02/14/konsep-kasih-sayang-dalam-islam-sepanjang-masa/

Nurul Amni.

No comments:

Post a Comment