Friday 13 May 2011

Perasaan.

Dalam diri setiap anak Adam, Allah SWT telah kurniakan dengan 1001 perasaan. Perasaan-perasaan ini pula bersifat batiniah dan letaknya di dalam hati. Salah satu perasaan itu adalah rasa kasih mengasihi.

Tarikan rasa ini boleh berlaku antara sesama manusia, makhluk-makhluk lain dan tentunya rasa cinta terhadap Maha Pencipta. Dengan rasa inilah manusia boleh hidup dengan penuh harmoni kerana berhubungan baik dengan manusia dan juga dengan Allah SWT.

Namun begitu, syaitan tidak pernah terlupa walau sesaat dalam menjalankan peranannya. Sudah namanya pun musuh manusia, segala kebaikan dan keharmonian yang melingkari kehidupan umat manusia, akan dipastikan suasana itu dicemari dengan perasaan yang sedikit demi sedikit mampu mengetarkan perhubungan sedia ada.

Mereka sentiasa mencari ruang bagi menimbulkan rasa cemburu, iri hati atau jatuh menjatuhkan antara sesama manusia.

Bagi manusia pula, apabila urusan hati itu gagal diurus dengan sempurna, tanpa disedari 'sihir-sihir' halus mudah dihembuskan ke ruang hati. Dari situlah rasa kasih dan sayang dan saling menghormati yang selama ini menjadi prinsip dalam menjalinkan perhubungan dengan orang lain, mudah sahaja tergadai walau hanya berlaku sedikit salah faham.

Lihatlah apa yang sedang berlaku dalam kehidupan kita hari ini. Bukan sedikit laporan berita memaparkan kes-kes jenayah dilakukan angkara dengki dan dendam.

Berapa ramai wanita di luar sana yang terpaksa menanggung kecacatan seumur hidup gara-gara disimbah asid oleh lelaki yang berdendam kerana cintanya tak berbalas. Juga kisah ibu bapa yang dilayan bak 'pengemis tua' oleh anak-anak sendiri yang menyimpan dendam kerana dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan suatu masa dahulu.

Bukan itu sahaja, angkara dendam jugalah soal nyawa bagaikan menjadi mainan. Kasihan bagi mereka yang menjadi mangsa-mangsa si pendendam ini. Kadangkala mereka sendiri tidak tahu kenapa diperlakukan sebegitu rupa.

Sedangkan si pendendam pula sedang bergembira kepuasan. Walau hakikat sebenarnya mereka sedang bergelut dengan diri sendiri yang pastinya tidak akan berkesudahan, biar apa pun yang sudah mereka lakukan!

Firman Allah SWT bermaksud:

"Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang di kurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (kerana) bagi seorang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah yang maha mengetahui segala sesuatu. (Surah An-Nisa, Ayat: 32).

Anis.

No comments:

Post a Comment