Friday 14 October 2011

QIAMULLAIL (IBADAT MALAM)


Qiamullail bererti Ibadat malam yang menjadi amalan khusus para-para Nabi dan Rasul, para Sahabat dan para Alim Ulama’.

Ia boleh dilakukan dengan Solat Tahajjud, Solat Taubah, Solat Tasbih, Solat Hajat dan Solat Witir.
Qiamullail juga harus diisi dengan membaca Al-Quraan, berzikir, berwirid, bermunajat, berdoa dan juga boleh mengadakan majlis tazkirah dan sebagainya amalan sunat yang lain selagi dalam waktu sepertiga malam.

WAKTU QIAMULLAIL

Waktu atau masa yang dikatakan Qiamullai itu ialah jangka masa di penghujung malam. Ia juga kadang-kadang dikenali dengan nama waktu Sahur(waktu ajaib).

Waktu ini ialah waktu yang mana semua manusia sedang tidur lena dan dalam masa ini kita digalakkan oleh Allah meninggalkan bantal tidur kita untuk membuat hubungan Istimewa dengan Allah melalui doa munajat dan perbualan khusus antara hamba dan KHALIQ dengan penuh khusyu’ dan air mata.

Inilah yang dimaksudkan dengan Firman Allah  S.W.T.,

تتجا فى جنو دهم عن المضاجع يدعون ربهم خوفا وطمعا ومما رزقنا هم ينفقون سوره السجده اية16

Yang bermaksud kurang lebih Mereka itu (kekasih-kekasih Allah) melepaskan bantal pelukan masing-masing (atau juga isteri masing- masing) dalam keadaan takut dan amat rindu dendam sekali terhadap Allah untuk mengharap keredhaannya dan dalam masa yang sama mereka melaburkan hartanya untuk jalan Allah.

SOLAT TAHAJJUD

Solat Tahajjud ialah solat yang wajib kepada Nabi S.A.W. dan disunatkan bagi kita. Kedudukan sunatnya ialah paling afdhal selepas solat lima waktu.

Waktunya ialah di penghujung malam(waktu sahur) dan tidak boleh dibuat dalam waktu lain sama sekali.

Jumlah rakaatnya paling sedikit dua rakaat dengan satu salam dan paling banyaknya lapan rakaat dengan empat salam.  Barang harus di ingat adalah penting supaya tidur dahulu sebelum bangun solat Tahajjud(terus solat Tahajjud tanpa tidur adalah dilarang).

SOLAT WITIR

Solat witir hendaklah dilakukan di penghujung Ibadah malam (itu yang paling afdhal).

Waktunya ialah selepas solat Isyak, dan tamat sepuluh minit sebelum subuh.

Jumlah rakaatnya paling kurang satu rakaat dan paling banyaknya sebelas rakaat (dua rakaat satu salam) dan rakaat terakhirnya satu rakaat satu salam.

Semua rakaat genap dan diakhiri dengan satu rakaat supaya jadi ganjil. Solat witir bermakna solat ganjil.
Kedudukan solat witir adalah sunat.

SOLAT TAUBAT

Satu lagi solat yang disunatkan kepada kita ialah solat Taubat.

Jumlah rakaatnya dua dan satu salam. Ia boleh dilakukan berulangkali sekiranya kita berupaya.

Waktunya bebas tetapi jangan dilaksanakan waktu yang diharamkan solat(waktu tahrim).

SOLAT HAJAT

Solat Hajat kedudukannya sunat.

Jumlah rakatnya dua dan satu salam.

Sunat dilaku ketika mana kita bersangatan hajat kepada sesuatu samaada ia urusan duniawi atau ukhrawi.

Waktunya bebas siang dan malam selain waktu Tahrim.

ZIKIR, DOA DAN MUNAJAT

Selepas Solat Taubah atau solat hajat bolehlah kita berwirid, berzikir, bertasbih, berdoa, bermunajat, membaca Al-Quraan dan sebagainya supaya hati kecil kita menjadi basah lembab dengan doa, gerun dan takut dengan zikir, sayu dan hiba dengan Istighfar.

Kalau diizinkankan Allah diutusnya Malaikat dan mencuit permukaan hati kita dengan sayap nya dan akan menghamburkan air mata sesal, sayu dan sedih terhadap kesalahan dan dosa kita. Hati kita akan menjadi retak dan terpancar air mata sedih. Inilah yang kita harapkan kerana warid hadis ” DUA BIJI MATA YANG MENITISKAN AIR MATA KERANA TAKUT PADA ALLAH TAKKAN DISENTUH OLEH API NERAKA”.

http://pondok.1blog.my/blog/2011/05/15/qiamullailibadat-malam/




Nurul Amni.

No comments:

Post a Comment