Saturday 20 August 2011

Menhayati Bulan Mulia Penuh Keberkatan Di Bulan Ramadan

Seperti yang kita tahu, bulan puasa penuh dengan keberkatan yang diberi oleh Allah kepada kita makhlukNya.

Pada bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan dari petunjuk, memperbezakan antara hak dengan yang batil maka sesiapa yang hadir di antara kamu di bulan itu hendaklah ia berpuasa".
Al-Baqarah, 2:185.


Mari kita membaca pendapat yang tertulis di dalam blog http://mrbelia.pun.bz/menhayati-bulan-mulia-penuh-keberkatan-d.xhtml tentang menghayati bulan yang penuh keberkatan ini.


RAMADHAN adalah bulan ibadah, bulan yang mulia dan lebih utama daripada bulan yang lain. Lantaran itu bulan Ramadhan perlu diutamakan, disambut dengan persediaan dan dihayati.

MENYAMBUT RAMADHAN

Apabila bulan Ramadhan menjelang tiba, mukmin sejali berkemas-kemas dan bersiap-siap menanti kedatangannya. Mereka menyambut dengan penuh kesukaan, penuh keriangan; penuh kegembiraan dan penuh harapan. Seseorang yang bercita-cita menjadi mukmin sejati juga perlu mencontohi sifat itu.

Memang selayaknya seseorang itu berasa gembira dengan kedatangan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan berkat yang membawa rahmat. Setiap amalan yang dilakukan di bulan Ramadhan berlipat ganda ganjarannya. Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan latihan menjinakkan nafsu yang liar dan mendidik jiwa.

Persiapan yang praktikal menyambut kedatangan Ramadhan ialah:

1. Mengulang-ulang kembali pelajaran yang berkenaan dengan puasa, agar kita memasuki dan menjalani bulan Ramadhan itu dengan pengetahuan yang mantap.
Pelajaran itu seharusnya memberi pengetahuan tentang rukun, syarat, adab, faedah, rahsia dan hikmah-hikmah yang terkandung dalam puasa, qiamullail, tarawih, membaca Al-Quran dan sebagainya.

2. Memperlihatkan kepada sesama kita kesenangan perasaan hati, kegembiraan dan keghairahan menghadapi bulan puasa sebagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat pernah lakukan.

3. Membanyakkan doa, moga-moga Allah memberikan tenaga kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa. Berharap agar Allah memimpin kita supaya dapat menunaikan puasa itu dengan hati yang jujur dan ikhlas.

4. Menguatkan semangat dan himmah untuk menjalankan latihan dengan sempurna. Bulan Ramadhan ialah bulan ujian dan latihan memerangi hawa nafsu makan, syahwat, tamak dan haloba. Jika nafsu berjaya ditundukkan, mudahlah untuk terus mendekatkan diri kepada Allah dengan membanyakkan ibadah. Seterusnya mensucikan diri dari dosa-dosa serta menghiasi diri dengan pekerti yang mulia.

5. Menyediakan diri untuk menjaga dan memelihara amalan yang akan dilakukan di bulan Ramadhan. Persediaan yang boleh dibuat ialah menyediakan jiwa dan kemahuan yang sungguh-sungguh untuk merebut keistimewaan bulan Ramadhan. Bersedia jiwa untuk meningkatkan amal ibadah dan pengorbanan sempena bulan Ramadhan.

6. Melenyapkan adat tradisi yang memberat dan membebankan. Contohnya berbelanja lebih untuk menyambut bulan Ramadhan. Membeli makanan yang sedap-sedap dan tidak pernah dimakan sehingga sanggup membazir kerana tidak dapat menolak nafsu makan.

Seorang ulamak Salaf menjual jariahnya (hamba perempuan) kepada seorang saudagar hartawan. Ketika hampir menjelang Ramadhan, si jariyah melihat tuannya yang kaya raya itu membeli makanan yang sedap-sedap. "Untuk apa tuan menyediakan makanan ini, sebelum ini tidak pernah tuan mengumpulkannya?" tanya jariah kehairanan. "Untuk bulan Ramadhan yang tidak lama lagi akan tiba," jawab saudagar itu. "Adakah tuan tidak pernah berpuasa selain dari bulan Ramadhan dan tuan hanya mengerjakan puasa Ramadhan untuk bersedap-sedap dan membanyakkan jenis makanan sahaja. Kalau begitu saya tidak dapat bersama tuan, sudilah kiranya tuan menjual saya kembali kepada tuan saya yang dahulu." kata jariah dengan tegas.

7. Mengucapkan tahniah atas kedatangan Ramadhan dengan mengadakan kenduri kesyukuran atau mengadakan sedikit jamuan dan membuat majlis tahlil.



sumber: http://mrbelia.pun.bz/menhayati-bulan-mulia-penuh-keberkatan-d.xhtml

Nurul Amni.

No comments:

Post a Comment